Rabu, 6 April 2022 | 3:10pm
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata hanya 30 peratus pegawai dan anggota bomba dibenarkan bercuti pada Aidilfitri, tahun ini. - Foto fail NSTP
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata hanya 30 peratus pegawai dan anggota bomba dibenarkan bercuti pada Aidilfitri, tahun ini. - Foto fail NSTP

Hanya 30 peratus pegawai, anggota bomba cuti raya

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hanya membenarkan 30 peratus pegawai dan anggotanya untuk bercuti sempena Aidilfitri, tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata selebihnya mereka akan bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kes kecemasan.

Beliau berkata, walaupun hanya 30 peratus dibenarkan bercuti, ia bergantung kepada keadaan semasa bagi negeri yang berpotensi berlaku kebakaran.

"Negeri yang terkesan dengan kekeringan akibat kemarau dan berpotensi untuk berlaku kebakaran dalam tempoh yang panjang, kami akan catu cuti pegawai dan anggota.

"Kalau tidak cukup anggota, maka kami akan bekukan cuti mereka," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, JBPM akan melancarkan Op Raya Bomba pada 26 April ini sebagai langkah siap siaga menghadapi sambutan Aidilfitri.

Mohammad Hamdan berkata, rondaan akan dibuat di kawasan perumahan yang menjadi titik panas kebakaran seminggu sebelum dan selepas Hari Raya pertama.

"Rondaan dibuat bagi melihat aspek risiko kebakaran dan memastikan tiada bahaya yang boleh memudaratkan komuniti dan penghuni rumah atau bangunan.

"Kami juga ingin memastikan bangunan ini dalam keadaan selamat dan mengenal pasti sebarang punca yang boleh menyebabkan kebakaran supaya tindakan boleh diambil," katanya.

Beliau berkata, JBPM juga akan memantau bangunan komersial seperti pusat beli-belah supaya selamat dikunjungi.

Katanya, pihaknya juga akan bersedia di kawasan rehat dan rawat di lebuh raya yang dikategorikan sebagai titik panas kemalangan bagi memantau keselamatan pemandu yang pulang ke kampung masing-masing. – BERNAMA

Berita Harian X