Selasa, 5 April 2022 | 6:28pm
Foto hiasan - Fail NSTP
Foto hiasan - Fail NSTP

Pantau pemilik kenderaan plat asing di stesen minyak

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi peringatan kepada pemilik stesen minyak di bandar raya ini supaya tidak menjual petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing.

Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro, berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik stesen minyak yang gagal memantau penyalahgunaan RON95 mengikut undang-undang.

Katanya, KPDNHEP menjalankan pemantauan di stesen minyak beroperasi sepanjang 25 kilometer dari tambak iaitu Jalan Tun Razak menghala ke Jalan Skudai di sini bagi memastikan kenderaan bernombor pendaftaran asing tidak mengisi petrol RON95.

"KPDNHEP menerima maklumat berkaitan warga asing mengisi petrol RON95 termasuk menerusi perkongsian netizen.

"Bagaimanapun, maklumat yang tular tidak terperinci termasuk di mana dan bila kejadian," katanya.

Sementara itu, pengusaha stesen minyak dikenali sebagai Rashidah berkata, tindakan sesetengah warga asing berkenaan tidak disedari kerana ada yang membuat pembayaran menerusi kad kredit dan mengisi minyak ketika suasana sibuk.

"Sekiranya ia stesen berkonsepkan layan diri, lebih rumit bagi kami mengesan perbuatan mereka melainkan memerhatikan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Kita akan lebih peka bagi mengelak kejadian berulang," katanya.

Sementara itu, pengguna Azman Rafee berkata, kemudahan subsidi berkenaan dikhususkan untuk rakyat tempatan.

"Sungguh mengecewakan apabila ada warga asing terutama pelancong Singapura mengisi minyak RON95 walaupun menyedari perbuatan itu menyalahi undang-undang negara ini.

"Teguran wajar diberi kepada pemilik kenderaan bernombor pendaftaran negara asing agar tidak membeli RON95," katanya.

Larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing dilaksanakan sejak 1 Ogos 2010.

Sebarang aduan boleh disalurkan menerusi e-aduan KPDNHEP di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my, WhatsApp di talian 019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

Berita Harian X