Isnin, 4 April 2022 | 7:27pm
Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Datuk Seri Najib Razak. - Foto NSTP
Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Datuk Seri Najib Razak. - Foto NSTP

Najib, Anwar debat isu Sapura Energy

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyatakan persetujuan berdebat dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai usaha menyelamatkan syarikat perkhidmatan medan minyak bersepadu Malaysia, Sapura Energy Bhd (Sapura Energy).

Menerusi hantaran di media sosialnya, bekas Perdana Menteri itu menyatakan sudah meminta pasukan Anwar dan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, mengaturkan dengan media jika berhasrat menyiarkannya secara langsung.

"Game on. Saya setuju debat dengan Anwar.'Let's rock'.

"Sila berhubung dengan pembantu saya untuk cari tarikh terdekat yang sesuai bagi semua," katanya dalam entri itu.

Sebelum ini, Rafizi yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, mencabar Najib untuk berdebat berhubung isu Sapura Energy.

Najib menyahut cabaran debat terbuka itu, namun mahu Rafizi mengajak Anwar bersama-sama berdebat dengannya.

"Yang mula-mula cabar untuk debat ialah Rafizi sehari dua sebelum Ramadan bermula. Saya cuma sahut sahaja.

"Saya sudah menjawab semua sanggahan Rafizi setiap kali dia naikkan (bangkitkan isu). Setakat ini, Rafizi cuma buat posting tiga kali berhubung isu ini," katanya.

Najib menjelaskan ketiga-tiga dakwaan Rafizi sudah dijawab berserta fakta dan bukti.

Berita Harian X