Isnin, 4 April 2022 | 1:55pm

Anwar sahut cabaran debat Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyahut cabaran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat mengenai usaha menyelamatkan syarikat perkhidmatan medan minyak bersepadu Malaysia, Sapura Energy Bhd (Sapura Energy).

Ketua Pembangkang itu yang juga Presiden PKR berkata, beliau bersedia untuk berdebat dengan Ahli Parlimen Pekan itu bila-bila masa sahaja.

"Saya mengambil maklum lontaran cabaran debat dari bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya bersedia untuk berdepan dan berdebat demi negara dan rakyat pada bila-bila masa dengan Datuk Seri Najib Razak," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR mencabar Najib untuk berdebat berhubung isu Sapura Energy.

Najib kemudian menyahut cabaran debat terbuka itu, namun mahu Rafizi mengajak Anwar untuk sama-sama berdebat dengannya.

Pada masa sama, Anwar berkata, kesediaannya untuk berdebat dengan Najib bermula sejak 10 tahun lalu di mana beliau pernah melontarkan cabaran serupa, tetapi tidak disahut Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu.

"Sikap saya jelas dan tidak berganjak sejak lebih 10 tahun lalu di mana saya pernah melontarkan cabaran yang serupa kepada beliau tapi tidak bersahut.

"Beliau kini memilih mencabar saya di awal Ramadan setelah gagal menjawab sanggahan Rafizi mengenai kemelut 'bail-out' Sapura dalam keadaan rakyat miskin dan peniaga kecil yang tidak terbela," katanya.

Sebelum ini, Sapura Energy mengalami peningkatan kerugian bersih untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari lalu kepada RM8.9 bilion berbanding RM160.87 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelum ini.

Perolehan merosot kepada RM4.13 bilion daripada RM5.35 bilion disebabkan peratusan siap yang lebih rendah yang diiktiraf pada tahun semasa, berikutan pengiktirafan kerugian yang boleh dijangka termasuk lonjakan kos projek dalam segmen perniagaan kejuruteraan dan pembinaan (E&C).

Berita Harian X