Isnin, 4 April 2022 | 1:51pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, menyaksikan penyerahan BSN Dana Wakaf Al-Ikhlas oleh Ketua Perbendaharaan dan Pelaburan Bank Simpanan Nasional, Asaraf Aboo Bakar, (kiri) kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Profesor Dr Amir Shaharuddin pada Majlis Perasmian BSN Dana Wakaf Al-Ikhlas di Wisma BSN. - Foto NSTP/FATHIL ASRI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, menyaksikan penyerahan BSN Dana Wakaf Al-Ikhlas oleh Ketua Perbendaharaan dan Pelaburan Bank Simpanan Nasional, Asaraf Aboo Bakar, (kiri) kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Profesor Dr Amir Shaharuddin pada Majlis Perasmian BSN Dana Wakaf Al-Ikhlas di Wisma BSN. - Foto NSTP/FATHIL ASRI

Pihak berkuasa agama negeri perlu banteras sindiket nikah

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa agama negeri digesa mengambil tindakan sewajarnya bagi membanteras kegiatan sindiket nikah di Thailand, yang didakwa kembali ditawarkan susulan pembukaan semula sempadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata sebarang tindakan bergantung kepada bidang berkuasa agama negeri masing-masing.

"Ini adalah bidang kuasa pihak kerajaan negeri atau pihak berkuasa agama negeri yang ada undang-undang tersendiri. Ada sesetengah negeri memberi kelonggaran (berhubung undang-undang nikah di sempadan), sesetengahnya pula ada yang ambil tindakan.

"Kita harapkan pihak berkuasa agama negeri akan ambil tindakan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Bank Simpanan Nasional (BSN) Dana Wakaf Al-Ikhlas membabitkan kerjasama antara Permodalan BSN Berhad dan Yayasan Waqaf Malaysia.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Datuk Selamat Paigo; Ahli Lembaga Pengarah BSN, Datuk Mohd Rizal Mohd Jaafar; Pengerusi Permodalan BSN Berhad, Asaraf Aboo Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Prof Dr Amir Shaharuddin.

BH hari ini melaporkan ada sindiket nikah di Thailand yang menawarkan semula 'pakej VIP'dengan caj sehingga RM50,000 kepada pasangan Malaysia yang ingin berpoligami.

Idris menasihati orang ramai supaya tidak mudah terjerat dengan kegiatan sindiket pernikahan yang dibimbangi akan memberi implikasi jangka panjang bukan sahaja kepada pasangan tetapi anak-anak.

"Apa yang paling penting, waktu mereka hendak buat perkara begini (nikah di sempadan menggunakan khidmat sindiket), kena fikirkan jangka panjang.

"Kita harapkan ia tidak berikan masalah terutama kepada anak-anak. Kena fikirkan dari semua sudut, jangan nanti yang menjadi mangsa adalah anak-anak.

"Oleh itu, saya berharap perkara ini dapat dirujuk ke pihak berkuasa agama negeri," katanya.

Berita Harian X