Ahad, 3 April 2022 | 12:43pm
Alexander Nanta Linggi (kiri) meninjau harga ayam selepas pelancaran Op Pantau 2022 di Kuching, hari ini. - NSTP/NADIM BOKHARI
Alexander Nanta Linggi (kiri) meninjau harga ayam selepas pelancaran Op Pantau 2022 di Kuching, hari ini. - NSTP/NADIM BOKHARI

Jangan guna alasan rancak ekonomi untuk naikkan harga

KUCHING: Peniaga diingatkan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang jualan sesuka hati dengan alasan untuk turut merancakkan ekonomi susulan pembukaan sempadan negara dalam fasa peralihan ke endemik, bermula Jumaat lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kerajaan mengambil langkah membuka semula sempadan bagi merancakkan semula ekonomi yang suram sejak dua tahun lalu, namun ia bukan alasan untuk peniaga menaikkan harga jualan atas alasan yang sama.

"Apabila memasuki fasa peralihan ke endemik dan sempadan juga dibuka, jumlah pelawat akan bertambah dan pastinya permintaan terhadap barang jualan akan meningkat.

"Sebab itu, sejak kerajaan umumkan pembukaan sempadan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) nasihatkan peniaga supaya tidak mengambil peluang menaikkan harga barang," katanya pada sidang media selepas pelancaran Op Pantau 2022 di CCK Local, City Mall Commercial Centre, di sini hari ini.

Alexander turut mengulangi amaran kepada peniaga agar tidak melakukan perkara sama susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei ini.

"Janganlah ingat pendapatan pengguna naik sedikit, peniaga juga naikkan harga barang. Kami akan menjalankan pemantauan agar perkara itu tidak berlaku dan tindakan akan dikenakan terhadap peniaga yang didapati menaikkan harga barang sesuka hati," katanya.

Mengenai bekalan barang keperluan utama pada musim perayaan, beliau memberi jaminan, ia mencukupi dan Ops Pantau yang dilaksanakan KPDNHEP akan memastikan masalah bekalan tidak berlaku.

"Di Sarawak, kami diberi jaminan oleh pihak pengeluar bahawa bekalan ayam, telur serta daging mencukupi, bukan sahaja sepanjang Ramadan ini dan perayaan Aidilfitri, malah sehingga perayaan Gawai Dayak nanti.

"Begitu juga dengan bekalan di seluruh negara, KPDNHEP akan membuat pemantauan rapi, kajian serta libat urus dengan pihak industri untuk memastikan bekalan mencukupi," katanya.

Berita Harian X