Sabtu, 2 April 2022 | 6:52pm
Polis menahan seorang wanita seminggu selepas menerima laporan daripada seorang penjual kek pada 3 Februari lalu bagi membantu siasatan. Kejadian penipuan kek menggunakan resit palsu dikatakan berlaku antara November 2021 hingga Februari lalu. - Foto tular
Polis menahan seorang wanita seminggu selepas menerima laporan daripada seorang penjual kek pada 3 Februari lalu bagi membantu siasatan. Kejadian penipuan kek menggunakan resit palsu dikatakan berlaku antara November 2021 hingga Februari lalu. - Foto tular

Tak benar polis tak terima laporan penjual kek

KUALA LUMPUR: Polis menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya polis enggan menerima laporan susulan daripada mangsa berhubung penipuan pembelian kek menggunakan resit palsu membabitkan kerugian hampir RM15,000.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 3 Februari lalu dan menahan seorang wanita tujuh hari kemudian bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kejadian itu berlaku antara November 2021 hingga Februari lalu.

"Mangsa tidak membuat pengesahan pembayaran setiap kali tempahan dibuat dan hanya menyedari ditipu ketika tempahan ke-12.

"Siasatan masih dijalankan dengan beberapa lagi tindakan sebelum kes dirujuk pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

"Kita menafikan kenyataan tular itu, namun tindakan tegas akan diambil jika berlaku pelanggaran keengganan menerima laporan oleh mana-mana anggota bertugas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, pengguna Twitter dikenali @MegatAd dipercayai mangsa mendakwa anggota polis tidak mahu membuka kertas siasatan kes berkenaan, sebaliknya mencadangkan perkara itu diselesaikan di luar mahkamah.

Pengguna itu mendakwa anggota itu berbuat demikian kerana dia adalah rakan suami suspek.

Suspek dalam tahanan reman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika disabitkan bersalah, boleh dipenjara lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Berita Harian X