Sabtu, 2 April 2022 | 2:52pm

Bekalan barangan keperluan Ramadan, Aidilfitri dijamin cukup - KPDNHEP

KUALA BERANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan barangan keperluan harian mencukupi sepanjang tempoh Ramadan dan perayaan Aidilfitri nanti, walaupun permintaan dijangka meningkat.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata KPDNHEP sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memastikan bekalan terbabit dapat menampung keperluan di negara ini.

"Sebagai contoh untuk bekalan ayam dan telur, KPDNHEP sudah mendapatkan maklumat daripada MAFI mengenai jumlah ayam yang diternak serta boleh dipasarkan pada Ramadan dan Aidilfitri kali ini.

"Justeru, pengguna tidak perlu khuatir. Malah, bekalan barangan keperluan lain seperti minyak masak, tepung gandum dan sebagainya juga mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di pekarangan Masjid Kampung Telaga, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rosol menegaskan, beberapa langkah akan diambil bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sempena Ramadan dan Aidilfitri nanti.

Selain pemeriksaan berkala dan pemantauan, beliau berkata, pihaknya juga bakal melakukan pemeriksaan mengejut ke premis perniagaan di seluruh negara.

"Tiada kompromi terhadap peniaga yang sengaja mencatut harga barangan, dan tindakan tegas akan diambil.

"Perniagaan memang memerlukan keuntungan, namun biarlah berpada-pada. Ia bukan dengan modal RM1 tetapi dijual pada harga RM5. Keuntungan seperti itu dipanggil mencatut kerana mengambil keuntungan yang tidak munasabah," katanya.

Seterusnya, Rosol berkata, pengguna diharap tidak membandingkan harga barangan keperluan pada Ramadan dan Aidilfitri tahun lalu dengan tahun ini, berikutan peningkatan harga berlaku disebabkan banyak faktor.

Rosol menghadiri Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di pekarangan Masjid Kampung Telaga, Kuala Berang, hari ini. - NSTP/NAZDY HARUN
Rosol menghadiri Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di pekarangan Masjid Kampung Telaga, Kuala Berang, hari ini. - NSTP/NAZDY HARUN
Berita Harian X