Jumaat, 1 April 2022 | 11:36pm
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - FOTO NSTP/ MOHD FADLI HAMZAH
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - FOTO NSTP/ MOHD FADLI HAMZAH

Kementerian Kewangan mula proses keterlibatan Bajet 2023, rai cadangan NGO

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan yang akan memulakan proses keterlibatan Bajet 2023 tidak lama lagi, mengalu-alukan cadangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai cara terbaik memperkasakan organisasi masyarakat sivil bagi kementerian mewujudkan komuniti yang lebih baik.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara NGO dialu-alukan oleh kementerian itu adalah Persatuan Perlindungan dan Selamatkan Kanak-kanak (PSC) serta 'Compassionate Care Foundation' (CCF).

"Sebahagian daripada komitmen MoF (Kementerian Kewangan) terhadap pembangunan dan daya tahan yang mampan adalah untuk mewujudkan masyarakat yang lebih baik, selamat dan inklusif bagi anak-anak kita dan yang kurang bernasib baik.

"Dan walaupun kita telah membuat kemajuan yang ketara terutamanya dalam bidang seperti pembasmian kemiskinan, kesihatan dan kesejahteraan awam, masih ada ruang untuk penambahbaikan," katanya dalam ucaptama pada majlis makan malam 'Healing and Empowering Loves' bagi menyokong CCF dan PSC hari ini.

Tengku Zafrul berkata sejak dua tahun lalu, kementeriannya memulakan beberapa inisiatif pembaharuan untuk membuka jalan bagi kemajuan sosio-ekonomi yang mampan dan ini termasuk memperkenalkan beberapa kaedah, yang mana kerajaan dan NGO dapat bekerja lebih baik bersama-sama di masa depan.

Kementerian Kewangan dalam membantu masyarakat pulih secara holistik daripada pandemik termasuk membina daya tahan masyarakat, amat mengutamakan pemakaian prinsip pembangunan lestari serta yang mana mampu memastikan kesejahteraan rakyat.

"Di bawah tema kedua RMK-12 iaitu Pengukuhan Keselamatan, Kesejahteraan dan Inklusif, salah satu penggubah utama untuk mengukuhkan keterangkuman dan menambah baik kumpulan B40 dan mereka yang terdedah adalah menangani kemiskinan secara holistik serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Bagi memastikan kesejahteraan golongan yang memerlukan, saya ingin berkongsi bahawa melalui Bajet 2022, Kementerian Kewangan telah menyediakan RM2.4 bilion untuk bantuan kebajikan bulanan kepada kanak-kanak, orang tua termasuk golongan kurang upaya yang tidak bekerja.

"Kami juga memperuntukkan sehingga RM450 juta untuk Kit Kesihatan COVID-19 kepada 3.6 juta keluarga B40 yang merangkumi pelitup muka, kit ujian diri, oksimeter nadi dan termometer," katanya.

Beliau juga menjelaskan melalui Bajet 2022, Kementerian Kewangan juga memperuntukkan geran padanan sebanyak RM100 juta bagi program-program NGO seperti pembinaan kapasiti dan usaha menangani isu-isu kesihatan mental melalui program kesedaran serta pendidikan selepas sekolah dan pengajaran dalam talian.

Kementerian juga terbuka untuk menerima cadangan mengenai peruntukan yang disediakan bagi tujuan lain dalam Bajet 2023.

"Kami mempunyai platform yang diselaraskan berkaitan CSR melalui syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dipanggil GDRN, yang bermaksud GLIC/GLC Demi Rakyat dan Negara, yang mana sumbangan kesan sosial GLCS/GLIC ini diselaraskan dalam tiga bidang utama iaitu pendidikan, mata pencarian yang mampan dan kesejahteraan (termasuk persekitaran) serta tindak balas kemanusiaan.

"Saya menggesa NGO seperti PSC serta CCF untuk menghubungi GDRN, yang diuruskan secara bersama oleh Yayasan Hasanah dan Yayasan TM, bagi melihat bagaimana kita boleh bekerjasama dalam mempromosikan sebab-sebab tertentu," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X