Jumaat, 1 April 2022 | 2:31pm
Jemaah solat Jumaat di Masjid Bandar Springhill, Port Dickson, hari ini. - NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA
Jemaah solat Jumaat di Masjid Bandar Springhill, Port Dickson, hari ini. - NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA

Jemaah kekal patuh SOP solat rapat saf

PORT DICKSON: Umat Islam yang hadir menunaikan solat Jumaat pada hari pertama saf solat berjemaah dibenar dirapatkan, kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengekang penularan COVID-19 seperti ditetapkan.

Tinjauan di Masjid Bandar Springhill di sini, mendapati jemaah mematuhi SOP pemakaian pelitup muka serta membawa sendiri sejadah untuk menunaikan solat berkenaan.

Timbalan Pengerusi Masjid Bandar Springhill, Ramli Awang, berkata pihak jawatankuasa masjid sudah bersedia menguruskan jemaah yang hadir untuk solat Jumaat hari ini.

"Solat dengan saf rapat di masjid ini sudah dimulakan pada Subuh pagi tadi selepas kerajaan Negeri Sembilan menetapkan penjarakan fizikal solat berjemaah dan wirid di semua masjid dan surau di negeri ini adalah mengikut aturan sejadah bersaiz besar iaitu 0.6 meter lebar x 1.2 meter panjang," katanya ketika ditemui.

Sepanjang pematuhan penjarakan fizikal bagi solat berjemaah susulan penularan COVID-19 kira-kira dua tahun lalu, beliau berkata, jemaah masjid berkenaan biasanya melimpah hingga ke luar masjid setiap kali solat Jumaat kerana perlu mematuhi SOP seperti diarahkan.

"Kami berharap agar SOP ini terus dapat terus diperbaiki dari semasa ke semasa, namun jemaah masih perlu memakai pelitup muka seperti sebelum ini dan membawa sejadah sendiri sebagai langkah berjaga-jaga.

"Saya dan AJK masjid lega kerana jemaah yang datang dapat mengikut arahan seperti sebelum ini dan rata-rata gembira dengan perkembangan ini. Kita harap agar keadaan kembali pulih selepas lebih dua tahun terpaksa solat dalam keadaan penjarakan satu meter antara jemaah," ujarnya.

Berita Harian X