Khamis, 31 March 2022 | 5:15pm
Majlis Tanah Negara meluluskan 19,500 hektar Catuan Tebangan Tahunan (CTT) hutan simpan di Kelantan bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). - Foto hiasan NSTP
Majlis Tanah Negara meluluskan 19,500 hektar Catuan Tebangan Tahunan (CTT) hutan simpan di Kelantan bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). - Foto hiasan NSTP

19,500 hektar hutan simpan Kelantan dilulus untuk balak

KOTA BHARU: Majlis Tanah Negara meluluskan 19,500 hektar Catuan Tebangan Tahunan (CTT) hutan simpan di Kelantan bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata perkara itu diluluskan menerusi mesyuarat MTN ke-77 yang bersidang September 2020. Tebangan tahunan dari 2021 hingga 2025 adalah 3,900 hektar setahun.

"Bagi mengelak berlakunya penebangan haram, kerajaan negeri menerusi Jabatan Perhutanan mengambil beberapa pendekatan termasuk penggunaan dron.

"Pada masa sama, kita juga membuat rondaan secara berskala di lokasi panas yang dikenal pasti dalam usaha mengekang kegiatan penebangan hutan secara haram," katanya.

Beliau berkata menjawab soalan Saiful Adli Abu Bakar (PAS-Salor) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.

Mengulas lanjut, ketika mencelah soalan tambahan daripada ADUN Salor sama ada hutan simpan boleh dijadikan kawasan pertanian, Ahmad berkata, tidak dibenarkan sebarang aktiviti pertanian di hutan simpan kecuali spesies hutan yang dibenarkan seperti pokok durian.

"Dalam 19,500 hektar yang dibenarkan itu, hanya spesis hutan sahaja dibenarkan," katanya.

Berita Harian X