Khamis, 31 March 2022 | 2:47pm
 Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerima cenderahati daripada Pengasas APADILANGIT, Hafiz Murtza (kiri) sempena Majlis Pelancaran Produk Perlancongan Astro-tourism - Pahang Amazing Sky di Wisma Sri Pahang. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerima cenderahati daripada Pengasas APADILANGIT, Hafiz Murtza (kiri) sempena Majlis Pelancaran Produk Perlancongan Astro-tourism - Pahang Amazing Sky di Wisma Sri Pahang. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang

Astro-tourism tarikan baharu pelancongan Pahang

KUANTAN: Astro-tourism atau pelancongan astronomi adalah konsep baharu diperkenalkan kerajaan negeri melalui Tourism Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata produk baharu itu memberi peluang kepada pelancong melihat keindahan langit penuh dengan bintang di kawasan langit gelap yang bebas daripada pencemaran cahaya.

Katanya, ia bermaksud pelancong boleh melihat suasana langit seperti zaman nenek moyang ketika langit belum dicemari oleh cahaya lampu buatan yang melenyapkan cahaya bintang.

"Melalui konsep pelancongan baharu ini, pelancong juga boleh belajar mengenal buruj serta tanda arah melalui peta bintang, tidak ketinggalan arah kiblat yang menjadi rujukan penganut beragama Islam untuk menunaikan solat.

"Pelancong juga akan dibawa menghargai keindahan langit dan mengetahui mengenai kesan pencemaran cahaya kepada manusia serta flora dan fauna," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Produk Pelancongan Astro-tourism - Pahang Amazing Sky di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Dengan tema pelancongan Pahang `This is Pahang Unlimited' beliau berkata, konsep baharu pelancongan itu akan memberikan impak besar kepada pelancongan negeri.

"Selain kaya dengan keindahan flora dan fauna, negeri Pahang mempunyai banyak kawasan langit gelap.

"Taman Negara Pahang dan Taman Negeri Rompin yang merupakan kawasan perlindungan flora dan fauna berpotensi digazetkan sebagai rizab langit gelap pertama negara kerana ia bebas dari limpahan lampu pembangunan," katanya.

Berita Harian X