Khamis, 31 March 2022 | 12:44pm
Gambar hiasan - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Gambar hiasan - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Perlis tidak bercadang gantung tugas guru KAFA enggan divaksin

KANGAR: Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) tidak bercadang untuk menggantung tugas guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan dan Bantuan Bencana, serta Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Ruzaini Rais memaklumkan setakat ini, Kerajaan Perlis belum berhasrat mengambil tindakan itu yang dilaksanakan di Selangor.

"Hingga kini, hanya lapan guru KAFA di negeri ini yang masih tidak mengambil vaksin COVID-19 disebabkan masalah kesihatan seperti komplikasi bersalin dan sebagainya.

"Kita tidak bercadang untuk menggantung tugas mereka. Namun, kita masih meneruskan kaedah memujuk dan menasihati kelompok terbabit bagi memastikan guru KAFA di Perlis lengkap vaksinasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-14 di Kompleks DUN Perlis, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seramai 57 guru KAFA di Selangor yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19, dikenakan tindakan gantung tugas selama dua bulan, bermula bulan ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, dipetik berkata semua guru berkenaan diberi masa untuk mendapatkan vaksin COVID-19 dalam tempoh penggantungan itu.

Jika guru terbabit masih berdegil dan tidak mahu mengambil suntikan vaksin berkenaan, katanya, tindakan tamat perkhidmatan akan dilaksanakan.

Mohd Shahzihan berkata, tindakan itu dibuat berpandu ketetapan dikeluarkan pihaknya berdasarkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengingatkan perkara sama kepada pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin.

Berita Harian X