X
Khamis, 31 March 2022 | 9:40am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kadar zakat fitrah di Perak kekal RM7, RM14, dan RM21

IPOH: Perak masih mengekalkan tiga pilihan kadar bayaran zakat fitrah bagi tahun 2022/ Ramadan 1443 H iaitu RM7, RM14 dan RM21 mengikut kepada jenis beras yang lazim dimakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada 4 hingga 6 Januari lalu.

Katanya, RM7 adalah harga minima yang perlu dibayar oleh setiap individu yang berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah tahun ini.

Beliau berkata, bagaimanapun adalah digalakkan untuk membayar melebihi kadar berkenaan mengikut kepada jenis beras yang dimakan atas dasar 'tatawwu' (galakkan memperbanyak ibadah ketaatan).

"Kadar yang ditawarkan adalah RM14 bagi pembayar yang menggunakan beras wangi, beras putih import, beras perang, beras pulut, herba poni dan seumpamanya.

"Zakat fitrah RM21 bagi pembayar yang menggunakan beras basmathi, beras jepun, beras merah dan seumpamanya," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi memudahkan pembayar zakat, MAIPk juga sudah melantik amil yang akan bertugas di semua masjid, surau, serta lokasi tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah dan seumpamanya di negeri ini.

Katanya, pembayar juga bertemu boleh bertemu langsung dengan amil zakat, yang mana kaedah ini boleh dilaksanakan oleh amil fitrah lantikan kariah masjid dengan bergerak dari rumah ke rumah bagi memudahkan ahli kariah melaksanakan ibadah zakat terutama bagi warga emas.

"Bayaran melalui amil hendaklah dilaksanakan dengan pematuhan kepada arahan, peraturan dan tatacara kawalan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Proses bayaran zakat fitrah kepada amil hendaklah mematuhi beberapa syarat antaranya memakai pelitup muka, penggunaan cecair nyahkuman, jarak fizikal, tiada bersalaman tangan semasa akad, dan dilaksanakan sesegera mungkin," katanya.

Beliau berkata, pembayaran juga boleh dibuat secara dalam talian antaranya menerusi medium FPX MAIPk dengan melayari ezakat.maiamp.gov.my : Aplikasi GoPayz; Aplikasi Shopee; Maybank2u; dan Aplikasi SnapNPay.

"Penyata Bayaran Zakat Fitrah bagi medium bayaran FPX MAIPk boleh dimuat turun terus daripada sistem FPX MAIPk, manakala bagi medium bayaran selain daripadanya, penyata bayaran zakat fitrah boleh diperolehi selepas enam hari transaksi dibuat.

"Pembayar hanya perlu memasukkan Nombor Kad Pengenalan ke dalam sistemonline.maiamp.gov.my/zakatfitrah dan seterusnya memuat turun penyata bayaran untuk simpanan atau cetakan," katanya.

Berita Harian X