Selasa, 29 March 2022 | 3:07pm
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. - Foto NSTP/Fathil Asri
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. - Foto NSTP/Fathil Asri

Gantung tugas 57 guru KAFA demi kepentingan awam - MB

SHAH ALAM: Tindakan menggantung tugas 57 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 dibuat demi kemaslahatan dan kepentingan awam.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata ia juga melalui proses panjang termasuk rundingan serta perbincangan antara beberapa pihak yang terbabit.

Beliau berkata, guru berkenaan juga sudah dimaklumkan mengenai risiko tindakan menolak untuk divaksin termasuk digantung tugas serta ditamatkan perkhidmatan.

"Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) disarankan untuk mengambil langkah rundingan, perbincangan dan sebagainya. Kita sudah ambil langkah wajar dengan mengingatkan mereka (mengenai risiko) sejak Ogos dan September tahun lalu yang mana kita panggil mereka satu persatu.

"Selepas beberapa proses, mereka ini masih tegar walaupun sudah ulang kali dimaklumkan mengenai risiko yang bakal mereka hadapi.

"Kita hormati pendirian mereka tetapi ia membawa risiko kepada anak-anak dan guru di sekolah jadi kita tidak mahu mengambil risiko itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan agensi berkepentingan di Foyer Bangunan SUK di sini hari ini.

Amirudin berkata, keputusan itu sukar diambil tetapi ia perlu dilaksanakan untuk memastikan kesejahteraan komuniti dapat dijaga.

Semalam, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata seramai 57 guru KAFA di Selangor yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 dikenakan tindakan gantung tugas selama dua bulan mulai bulan ini.

Beliau dilaporkan berkata, kesemua guru berkenaan diberi masa untuk mendapatkan vaksin COVID-19 dalam tempoh gantung tugas itu dan sekiranya guru-guru berkenaan masih berdegil dan tidak mahu mengambil suntikan vaksin, tindakan tamat perkhidmatan akan dilaksanakan.

Katanya, tindakan itu dibuat berpandukan ketetapan dikeluarkan pihaknya berdasarkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan perkara sama kepada pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin.

Berita Harian X