Isnin, 28 March 2022 | 4:59pm
Jenazah Ahmad Fakhruddin dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid At-Taqwa, semalam. - Foto ihsan pembaca
Jenazah Ahmad Fakhruddin dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid At-Taqwa, semalam. - Foto ihsan pembaca

Tonton majlis pengebumian anak dari Makkah

KUALA KANGSAR: Sukar digambarkan perasaan seorang bapa yang terpaksa menonton secara langsung majlis pengebumian anak bongsunya melalui panggilan video, semalam, ketika sedang menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah.

Perkara itu dikongsikan ibu mangsa, Nur Suriati Yusoff, 44, susulan insiden anak mereka yang juga kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) autisme, Ahmad Fakhruddin Ahmad Farid, 10, dilaporkan lemas selepas terjatuh ke Sungai Perak di Sayong Tebing, di sini, pagi semalam.

Nur Suriati berkata, beliau menghubungi suaminya, Ahmad Farid Salleh, 45, yang sedang mengerjakan umrah, dengan membuat panggilan video melalui aplikasi WhatsApp ketika jenazah anak bongsu daripada tiga beradik itu dimandikan hingga proses akhir pengebumian.

"Suami memberikan kata-kata semangat kepada saya agar terus bersabar dan reda dengan ketentuan Ilahi atas ujian musibah ini.

"Walaupun hati saya terlalu luluh, saya reda atas ketentuan Ilahi. Hanya Allah SWT yang tahu bagaimana perasaan saya sebagai seorang ibu ketika mendapat tahu 'anak syurga' kesayangan saya dijumpai lemas," katanya kepada pemberita.

Menceritakan lanjut kenangan terakhir bersama mangsa sebelum insiden, Nur Suriati berkata, Allahyarham meminta untuk bermain telefon bimbit seperti kebiasaan, malam kelmarin.

Selepas solat Subuh kira-kira jam 6.40 pagi semalam, beliau berkata, Ahmad Fakhruddin masih berada di dalam rumah dan bermain di hadapan televisyen.

"Ketika itu, saya sedang bersiap untuk ke Gunung Semanggol, Bagan Serai, kerana perlu menghadiri mesyuarat.

"Namun selepas siap berkemas, saya mendapati anak sudah tiada di dalam rumah dan pintu pagar terbuka. Selepas puas mencari di kawasan sekeliling rumah, akhirnya saya mendapati selipar anak berada di jeti sungai," katanya.

Beliau turut memaklumkan, keadaan kesihatan mangsa dilihat semakin baik tahun ini, berbanding terpaksa sering mendapatkan rawatan sebelum itu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata mayat mangsa kanak-kanak itu ditemukan kira-kira 300 meter dari jeti tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

Beliau berkata, mayat mangsa dijumpai penduduk kampung jam 8.15 pagi semalam, dan hasil pemeriksaan ke atas tubuh kanak-kanak itu mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal, manakala keputusan bedah siasat mengesahkan kematiannya disebabkan lemas.

Jenazah mangsa kemudian dibawa pulang ke Kampung Kuala Kubu di Gunung Semanggol dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid At-Taqwa pada jam 5.53 petang semalam.

Berita Harian X