Isnin, 28 March 2022 | 2:31pm
Zahimi (dua kiri) menyampaikan sijil perakuan pendaftaran Sistem Geotanaman kepada usahawan dan petani di Seremban hari ini. - Foto Mohd Amin Jalil
Zahimi (dua kiri) menyampaikan sijil perakuan pendaftaran Sistem Geotanaman kepada usahawan dan petani di Seremban hari ini. - Foto Mohd Amin Jalil

Sokong semua kaedah terbaik kurangan kos harga ayam

SEREMBAN: Jabatan Pertanian sentiasa positif melaksanakan sebarang kaedah terbaik bagi menangani isu kenaikan harga dan bekalan ayam tempatan untuk kepentingan pengguna.

Ia termasuk melaksanakan apa juga cadangan daripada pelbagai pihak dalam menyelesaikan masalah kenaikan harga ayam terutama dalam mengurangkan kebergantungan kepada bahan import bagi makanan ayam.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Zahimi Hassan, berkata pihaknya sedia melaksanakan sebarang syor yang dikemukakan selagi ia dapat mengurangkan harga dan kos pengeluaran makanan ayam.

"Kita sedar apabila berlaku kenaikan harga komoditi makanan untuk rakyat sememangnya ia menjadi isu dan apa juga yang dicadangkan kita jabatan menyokong selagi ia dapat mengurangkan kos pengeluaran itu.

"Jabatan sememangnya sentiasa berusaha mencari kaedah terbaik dalam mengurangkan harga ayam secara jangka panjang.

"Tetapi kita juga perlu membuat kajian terlebih dahulu sama ada sesuatu cadangan itu bersesuaian atau sebaliknya dan jika kajian mendapati dapat menghasilkan produk yang setanding dengan produk yang asal iaitu menggunakan soya, jagung bagi makanan ayam, kita kena terima.

Beliau berkata demikian selepas Program Jelajah Sistem Geotanaman Aspirasi Keluarga Malaysia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Tanah, Normaizah Ismail@Manaf dan Pengarah Pertanian Negeri Sembilan, Hisyam Yacob.

Terdahulu, Pensyarah Jabatan Sains Haiwan, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Zulkifli Idrus, mengemukakan empat syor dalam membantu kerajaan menangani isu bekalan dan harga ayam tempatan dalam jangka masa panjang.

Syor berkenaan adalah penggunaan isirong kelapa sawit (PKC) sebagai bahan alternatif dalam ramuan makanan ayam dan larva serangga 'black soldier fly' (BSF) bagi menggantikan penggunaan mil kacang soya.

Dr Zulkifli berkata, Malaysia menghasilkan 2.3 juta tan PKC setahun, yang mana bahan hampas kelapa sawit itu mempunyai kandungan karbohidrat yang tinggi untuk penghasilan makanan ayam, sekali gus boleh mengurangkan kebergantungan negara kepada bahan import jagung, yang kini mencecah empat juta tan setahun.

Mengulas lanjut, Zahimi berkata, pihaknya menyokong syor berkenaan walaupun perkara itu bukan di bawah jabatan terbabit sepenuhnya.

Beliau berkata, jabatan sentiasa menyokong usaha-usaha yang dibuat oleh pelbagai agensi seperti UPM kerana UPM adalah badan penyelidik yang menghasilkan teknologi dan inovasi.

"Yang penting kualiti produk itu sama dan setanding serta dapat menghasilkan kualiti ayam sama, jabatan tiada masalah untuk menyokong kerana kita memang mahu kurangkan kebergantungan kepada bahan import," katanya.

Isu harga ayam yang meningkat naik menimbulkan keresahan kalangan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah dan B40 selain peniaga kecil.

Situasi itu berlaku dikatakan berpunca daripada kenaikan harga makanan ternakan iaitu soya dan jagung diimport dari Argentina dan Brazil sekali gus menjejaskan rantaian bekalan daripada peringkat ladang ke pemborong, peruncit dan pengguna.

Berita Harian X