Isnin, 28 March 2022 | 2:03pm
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid. - NSTP/OMAR AHMAD
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid. - NSTP/OMAR AHMAD

Johor tetapkan zakat fitrah tahun ini RM7 dan RM10

ISKANDAR PUTERI: Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) menetapkan zakat fitrah tahun ini kekal pada kadar RM7 dan RM10 bagi umat Islam di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata penetapan kadar dibuat berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di negeri ini, pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

Beliau berkata, pembayaran zakat fitrah boleh dilakukan menerusi tiga cara, iaitu secara dalam talian (digalakkan), melalui 1,648 amil yang dilantik dan di kaunter zakat MAINJ setiap daerah.

"Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Johor telah menetapkan zakat fitrah tahun ini pada kadar RM7 dan RM10. Umat Islam di negeri ini yang makanan harian mereka adalah beras jenis Super Tempatan, akan membayar zakat fitrah RM7.

"Zakat fitrah RM10 pula dibayar oleh umat Islam di negeri ini yang makanan harian mereka adalah beras selain daripada jenis Super Tempatan, (beras import) seperti Beras Wangi, Beras Basmathi dan lain-lain.

"Unjuran pungutan zakat fitrah bagi tahun ini ialah sebanyak RM18.9 juta, dengan anggaran pembayar membabitkan seramai 2.1 juta umat Islam di Johor.

"Jumlah pembayar zakat fitrah setiap tahun adalah hasil daripada kelahiran baharu serta mereka yang berhijrah ke Johor untuk bekerja dan sebagainya.

"Pengiraan unjuran ini mengambil kira keadaan ekonomi ketika ini, iaitu dengan mengambil nisbah 20 peratus adalah pembayar bagi kadar RM7 dan 80 peratus pembayar RM10," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Fared berkata, MAINJ turut menetapkan kadar bantuan Hari Raya tahun ini dengan peruntukan RM14.19 juta.

Hasil proses bancian dilakukan oleh amil, beliau berkata, bilangan ketua keluarga fakir adalah seramai 7,429 orang, manakala bilangan ketua keluarga miskin 29,258 orang.

"Setiap ketua keluarga fakir akan menerima RM400, manakala ketua keluarga miskin akan menerima RM300.

"Jumlah tanggungan keluarga fakir ialah 11,126 orang dan miskin pula 37,917 orang, yang mana setiap orang tanggungan akan menerima RM50.

"Jumlah keseluruhan ketua keluarga asnaf fakir dan miskin bersama tanggungan adalah seramai 85,730 orang," katanya.

Berita Harian X