Isnin, 28 March 2022 | 1:11pm
Kekurangan pekerja punca industri alami kerugian. - Foto hiasan
Kekurangan pekerja punca industri alami kerugian. - Foto hiasan

Kekurangan pekerja sektor perladangan sawit kritikal

KUALA LUMPUR: Masalah kekurangan pekerja dalam sektor perladangan sawit negara terus kritikal dengan keperluannya ketika ini dianggarkan lebih 100,000 orang.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Datuk Mohamad Nageeb Abdul Wahab, berkata walaupun kerajaan memberi kebenaran membawa masuk pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh dan India, namun setakat ini tiada kelulusan diberikan daripada negara sumber terbabit.

"Kita tidak ada statistik terbaharu mengenai kekurangan (pekerja), namun saya menganggarkan (industri memerlukan) ia melebihi 100,000 pekerja asing.

"Benar, kerajaan sudah beri kelulusan istimewa membawa masuk 32,000 pekerja asing untuk sektor perladangan, tetapi memandangkan kelulusan belum didapati dari negara sumber, seorang pun belum dapat kami ambil," katanya kepada BH.

MPOA mewakili 40 peratus kawasan ladang sawit di Malaysia. Mohamad Nageeb berkata, pihak industri sememangnya amat memerlukan kemasukan tenaga kerja asing berikutan kekurangan tenaga kerja di ladang yang sangat kritikal ketika ini, menyebabkan aktiviti penuaian tertangguh di samping mengurangkan kualiti tandan buah segar.

Katanya, kekurangan tenaga kerja juga menyebabkan industri terlepas peluang untuk memanfaatkan harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi ketika ini untuk meningkatkan pengeluaran.

Malah, beliau berkata, keperluan tenaga kerja itu tidak bergantung kepada pergerakan harga sawit sama ada tinggi atau rendah kerana industri sememangnya sentiasa memerlukan pekerja.

"Sayangnya, kami tidak dapat memanfaatkan harga tinggi dengan meningkatkan pengeluaran disebabkan oleh kekurangan tenaga kerja.

Kekurangan pekerja sektor perladangan sawit kritikal. - Foto hiasan
Kekurangan pekerja sektor perladangan sawit kritikal. - Foto hiasan

Tahun lalu saja, kami anggarkan kerugian peluang untuk meningkat pengeluaran sebanyak RM50 bilion berikutan kekurangan pekerja," katanya sambil menambah pihaknya menjangkakan pekerja asing dibenarkan masuk ke negara ini mulai Mei.

Niaga hadapan MSM kebanyakannya tinggi pada akhir minggu lalu, sejajar dengan pergerakan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago Amerika Syarikat (AS) serta perkembangan mengenai krisis Russia-Ukraine.

Niaga hadapan MSM bagi April 2022 naik RM500 kepada RM6,616 satu tan, Mei 2022 menambah RM539 kepada RM6,299 satu tan dan Jun 2022 meningkat RM398 kepada RM6,027 satu tan.

Sejak tercetusnya krisis Russia-Ukraine awal bulan lalu, minyak sawit Malaysia juga kini menjadi minyak sayuran paling mahal apabila permintaannya di pasaran dunia melonjak.

Konflik itu telah menyebabkan eksport minyak bunga matahari dan minyak bijirin lain dari rantau Laut Hitam terjejas, sekali gus menjadikan minyak sawit dari negara ini sebagai pilihan untuk minyak sayuran.

Ukraine adalah pengeluar terbesar dunia bagi minyak bunga matahari.

Awal bulan ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, pekerja asing dijangka masuk pada Mei atau Jun ini bagi menangani kekurangan tenaga buruh di ladang sawit.

Beliau berkata, kemasukan tenaga kerja asing itu dijangka akan membantu memulihkan pengeluaran sawit di negara ini yang terkesan oleh kekurangan tenaga kerja berikutan sekatan kemasukan yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19.

Kekurangan tenaga kerja juga menyebabkan industri terlepas peluang untuk memanfaatkan harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi ketika ini untuk meningkatkan pengeluaran. - Foto hiasan
Kekurangan tenaga kerja juga menyebabkan industri terlepas peluang untuk memanfaatkan harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi ketika ini untuk meningkatkan pengeluaran. - Foto hiasan

Katanya, bagi tahun ini, pengeluaran sawit negara dijangka meningkat kepada 20 juta tan, berbanding 18.1 juta tan tahun lalu.

Negara dianggarkan kerugian sehingga RM20 bilion setahun pada 2021 akibat buah tandan segar kelapa sawit tidak dapat dikutip dari ladang disebabkan kekurangan tenaga kerja.

Kekurangan pekerja diburukkan lagi apabila wabak COVID-19 melanda dengan kerajaan menutup sempadan serta pembekuan pengambilan pekerja asing.

Antara syarikat yang terkesan adalah Sime Darby Plantation Bhd, pengeluar terbesar dunia dari segi kawasan.

Sime Darby, awal tahun ini turut memberi amaran bahawa masalah kekurangan pekerja ladang sawit di Malaysia susulan penutupan sempadan disebabkan penularan COVID-19, akan menjadi lebih meruncing sehinggalah pekerja dibenarkan kembali.

Pengarah Urusannya, Mohamad Helmy Othman Basha dipetik agensi berita Reuters sebagai berkata, terdapat kekurangan sehingga 75,000 pekerja yang menyebabkan potensi antara 20 hingga 30 peratus pengeluaran terjejas.

Sejak tercetusnya krisis Russia-Ukraine awal bulan lalu, minyak sawit Malaysia juga kini menjadi minyak sayuran paling mahal apabila permintaannya di pasaran dunia melonjak. - Foto EPA
Sejak tercetusnya krisis Russia-Ukraine awal bulan lalu, minyak sawit Malaysia juga kini menjadi minyak sayuran paling mahal apabila permintaannya di pasaran dunia melonjak. - Foto EPA

Tahun lalu, pekerja asing merangkumi 75 peratus daripada keseluruhan pekerja Sime Darby Plantation.

Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk mengambil 32,000 pekerja asing dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Pada 17 Mac lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kementeriannya sudah menerima 313,014 permohonan untuk menggaji pekerja asing sejak permohonan dibuka pada 15 Februari lalu.

Katanya, permohonan membabitkan sektor perkilangan (193,346), perkhidmatan (48,119), perladangan (36,950), pembinaan (27,331), pertanian (7,248) dan perlombongan dan pengkuarian (20).

Berita Harian X