Ahad, 27 March 2022 | 6:55pm
Orang ramai mengunjungi gerai jualan dan pameran pada hari terakhir Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra yang berlangsung dari 25 hingga 27 Mac. - Foto BERNAMA
Orang ramai mengunjungi gerai jualan dan pameran pada hari terakhir Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra yang berlangsung dari 25 hingga 27 Mac. - Foto BERNAMA

Jelajah AKM Perlis rekod jualan lebih RM2 juta

KANGAR: Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis menarik kehadiran lebih 14,000 pengunjung sepanjang tiga hari program berlangsung sejak Jumaat lalu, melepasi sasaran 10,000 ditetapkan.

Sekretariat Program Jelajah AKM berkata, sejumlah RM2.34 juta jualan direkodkan setakat jam 2 petang tadi, membabitkan 114 gerai jualan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) serta program padanan perniagaan.

"Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia menawarkan 4,856 pelbagai kekosongan jawatan daripada 27 majikan dan 615 peserta dipanggil menghadiri temu duga dengan 591 orang berjaya ke tapisan akhir jawatan yang dipohon setakat ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pelbagai perkhidmatan secara langsung ditawarkan sepanjang program itu berlangsung, membabitkan 27 reruai kaunter perkhidmatan kementerian, agensi dan kerajaan negeri antaranya penerangan servis kerajaan, pemeriksaan serta saringan kesihatan dan kaunseling kewangan.

Sekretariat berkenaan memaklumkan, Jualan Keluarga Malaysia turut diadakan dengan tawaran potongan harga sehingga 31 peratus bagi barangan keperluan harian selain penganjuran beberapa program.

"Antaranya Program Forum Ihya Ramadan, pertandingan e-sukan dan Kayuhan Fun Ride Jelajah AKM.

"Penganjuran jelajah ini adalah komitmen kerajaan menyumbang kepada rakyat melalui program berfokuskan kepada perkhidmatan secara langsung, sekali gus menyatupadukan Keluarga Malaysia ke arah kesejahteraan ekonomi bagi memulihkan negara dalam situasi mencabar," katanya.

Sekretariat itu menyebut, siri jelajah akan diteruskan ke seluruh negara dengan segmen perkhidmatan sama bagi memenuhi keperluan rakyat dan membantu penghayatan terhadap pengertian AKM yang menitikberatkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Jelajah AKM yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, adalah kesinambungan kejayaan penganjuran program 100 Hari AKM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 hingga 12 Disember 2021.

Siri jelajah pertama diadakan di Johor pada 3 hingga 5 Mac lalu, manakala siri jelajah kedua diadakan di Perlis dan berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Mac di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra. – BERNAMA

Berita Harian X