Ahad, 27 March 2022 | 2:03pm
Hajiji (tiga dari kanan) bersama Jahid (dua dari kanan) dan Joniston (empat dari kanan) menyaksikan persembahan tarian kebudayaan etnik Dusun ketika lawatan kerja ke Tamparuli, hari ini. - NSTP/RECQUEAL RAIMI
Hajiji (tiga dari kanan) bersama Jahid (dua dari kanan) dan Joniston (empat dari kanan) menyaksikan persembahan tarian kebudayaan etnik Dusun ketika lawatan kerja ke Tamparuli, hari ini. - NSTP/RECQUEAL RAIMI

Kerajaan Sabah dirujuk 'Kerajaan GRS-BN' - Hajiji

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengumumkan kerajaan Sabah ketika ini dirujuk sebagai 'Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN)'.

"BN juga sebahagian daripada kerajaan yang ditubuhkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu dan dipersetujui kedua-dua pihak. Memang itu namanya, GRS-BN walaupun BN bukan gabungan GRS.

"Kerajaan (Sabah) yang ada hari ini adalah kerajaan GRS dan BN," katanya pada sidang media selepas program lawatan kerja ke Tamparuli.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim serta Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.

GRS diluluskan pendaftarannya sebagai entiti politik baharu pada 11 Mac lalu, disertai empat parti politik tanpa UMNO, BN dan PAS. Empat parti terbabit adalah BERSATU, Parti Bersatu Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

UMNO dan BN menjadi rakan GRS dalam kerajaan negeri, sama seperti PAS menerusi kapasiti sebagai komponen Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, Pengerusi BN dan UMNO Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan berkata, adalah tidak adil jika tidak menyebut BN ketika merujuk kerajaan negeri ketika ini walaupun gabungan itu tidak bersama GRS.

Bung Moktar kemudian mencadangkan kerajaan negeri yang memerintah dinamakan sebagai 'GRS BN' supaya berlaku adil kepada BN yang menjadi sebahagian daripada kerajaan yang memerintah.

Dalam perkembangan lain, Hajiji yang juga Pengerusi GRS merangkap Pengerusi PN dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, turut meluluskan lima permohonan projek kecil bagi menaik taraf pembangunan di Tamparuli.

Berita Harian X