Sabtu, 26 March 2022 | 6:36pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) melawat ruang pameran ketika hadir pada majlis perasmian sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2022 di NU Sentral hari ini. Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kanan). - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) melawat ruang pameran ketika hadir pada majlis perasmian sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2022 di NU Sentral hari ini. Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kanan). - Foto BERNAMA

Program Jualan Keluarga Malaysia dilanjutkan - KPDNHEP

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melanjutkan Program Jualan Keluarga Malaysia yang dijadual tamat bulan ini bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan keperluan harian pada harga lebih murah daripada pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah memberi kebenaran supaya ia diteruskan termasuk sepanjang Ramadan ini.

"Ia (Program Jualan Keluarga Malaysia) tamat hujung bulan ini, tapi baru-baru ini kementerian sudah menghantar surat kepada Perdana Menteri.

"Jadi saya boleh katakan di sini, Perdana Menteri beritahu KPDNHEP dibenarkan melanjutkan program ini (sepanjang Ramadan)," katanya selepas Majlis Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2022 di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Ismail Sabri itu turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.

Nanta Linggi berkata, kementeriannya akan memperhalusi program jualan berkenaan supaya mudah dijalankan dan lebih menyeluruh.

"Banyak wakil rakyat, pemain industri, pasar raya dan sebagainya memang suka datang bersama untuk (turut serta) dalam program ini.

"Mungkin program ini dapat bagi yang terbaik untuk rakyat dan bantu kurangkan bebanan kos. Jadi saya amat menghargai mereka yang sukarela bantu kita," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pendapatan transaksi e-dagang melonjak di antara 30 hingga 50 peratus bersamaan RM254.6 bilion pada suku pertama 2021.

"Penggunaan e-wallet di Malaysia juga meningkat 131 peratus melebihi 600 juta transaksi pada 2020.

"KPDNHEP turut melancarkan program Inisiatif Digital Peruncitan atau Retails Digitilisation Initiative (ReDI) sebagai tanda menyokong perniagaan beralih kepada system 'cashless'.

"Sehingga 15 Mac lalu, sejumlah 3,347 peniaga sudah mengadaptasi program ReDI dan dijangkakan menjelang akhir 2025 seramai 15,000 peniaga seluruh negara akan beralih kepada ReDI," katanya.

Katanya, berdasarkan consumer empowerment index (CEI) yang dijalankan oleh kementerian, skor CEI hanya 63.1 peratus dan ia menunjukkan tahap kesedaran pengguna terhadap hak mereka berada di tahap sederhana.

"Kementerian akan terus menjalankan pelbagai program advokasi bagi meningkat tahap kesedaran pengguna," katanya.

Berita Harian X