Sabtu, 26 March 2022 | 6:33pm
Perdana Menteri (kanan) bersama Nanta Linggi (kiri) dan Rosol (tengah) ketika perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2022 di NU SENTRAL, Kuala Lumpur. - FOTO NSTP/ ASWADI ALIAS
Perdana Menteri (kanan) bersama Nanta Linggi (kiri) dan Rosol (tengah) ketika perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2022 di NU SENTRAL, Kuala Lumpur. - FOTO NSTP/ ASWADI ALIAS

Program Jualan Keluarga Malaysia akan dilanjutkan

KUALA LUMPUR : Kerajaan akan melanjutkan lagi Program Jualan Keluarga Malaysia yang dijadual tamat bulan ini, bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan keperluan harian pada harga lebih murah dari pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah memberi kebenaran supaya ia diteruskan termasuk sepanjang Ramadan ini.

"Ia (Program Jualan Keluarga Malaysia) tamat hujung bulan ini, tetapi baru-baru ni kementerian sudah menghantar satu surat kepada Perdana Menteri.

"Jadi saya boleh katakan di sini, Perdana Menteri beritahu saya KPDNHEP dibenarkan melanjutkan program ini (sepanjang Ramadan)," katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2022 di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Ismail Sabri itu turut dihadiri Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid.

Mengulas lanjut, Nanta Linggi berkata, kementeriannya akan memperhalusi program jualan berkenaan supaya mudah dijalankan dan lebih menyeluruh.

"Banyak wakil rakyat, pemain industri, pasar raya dan sebagainya memang suka datang bersama untuk (turut serta) dalam program ini.

"Mungkin (mereka berminat kerana melihat) bagaimana program ini dapat bagi yang terbaik untuk rakyat dan bantu kurangkan bebanan kos. Jadi saya amat menghargai mereka yang sukarela bantu kita," katanya.

Dalam pada itu, Nanta Linggi berkata, pendapatan transaksi e-dagang melonjak antara 30 hingga 50 peratus bersamaan dengan RM254.6 bilion pada suku pertama 2021.

"Penggunaan e-wallet di Malaysia juga meningkat 131 peratus melebihi 600 juta transaksi pada 2020.

"KPDNHEP turut melancarkan program Inisiatif Digital Peruncitan (ReDI) sebagai tanda menyokong perniagaan beralih kepada system 'cashless' (tanpa tunai).

"Sehingga 15 Mac 2022, sejumlah 3,347 peniaga sudah mengadaptasi program ReDI dan dijangkakan menjelang akhir 2025, seramai 15,000 peniaga seluruh Malaysia akan beralih kepada ReDI," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan Indeks Pemerkasaan Pengguna (CEI) dijalankan kementerian, skor hanya 63.1 peratus dan ini menunjukkan tahap kesedaran pengguna terhadap hak mereka berada di tahap sederhana.

"Kementerian akan terus menjalankan pelbagai program advokasi bagi meningkat tahap kesedaran pengguna," katanya.

Berita Harian X