Sabtu, 26 March 2022 | 4:48pm
Ismail Sabri (dua dari kanan) melawat ruang pameran ketika hadir pada majlis perasmian sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2022 di NU Sentral hari ini. - FOTO BERNAMA
Ismail Sabri (dua dari kanan) melawat ruang pameran ketika hadir pada majlis perasmian sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2022 di NU Sentral hari ini. - FOTO BERNAMA

36.45 peratus aduan diterima KPDNHEP sejak PKP berkaitan transaksi dalam talian

KUALA LUMPUR: Isu transaksi dalam talian meliputi 36.45 peratus daripada keseluruhan 66,255 aduan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) antara tempoh Mac 2020 hingga Februari lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, berkata semua duan itu diterima kementerian berkenaan dalam tempoh kira-kira dua tahun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020.

Berdasarkan jumlah itu, beliau berkata sebanyak 24,150 aduan berkaitan transaksi dalam talian diterima KPDNHEP.

"Sejumlah besar aduan ini memberi indikasi bahawa melalui perubahan trend pembelian pengguna secara dalam talian, sebilangan besar pengguna menyedari dan memahami akan hak mereka.

"Hal ini kerana mereka menyalurkan aduan kepada kementerian apabila berlakunya sebarang salah laku di pihak peniaga dalam talian," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pelancaran Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2022, bertemakan 'Digitalisasi Pengguna' di sebuah pusat beli belah di ibu negara.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalannya, Datuk Rosol Wahid.

Perdana Menteri berkata, sebagai langkah memperkasakan digitalisasi pengguna, KPDNHEP membangunkan satu aplikasi telefon pintar yang bertujuan mempelbagaikan platform penyaluran aduan pengguna, sekali gus memantapkan lagi inisiatif perlindungan pengguna.

"Aplikasi dinamakan ezAdu ini mula dibangunkan pada 2015 dan pada 2021, ia ditransformasi dan ditambah baik bertujuan meningkatkan lagi tahap keberkesanan saluran aduan disediakan KPDNHEP di mana pengadu boleh menyalurkan aduan serta merta melalui telefon pintar masing-masing," katanya.

Ismail Sabri (dua dari kanan) melawat ruang pameran ketika hadir pada majlis perasmian sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2022 di NU Sentral hari ini. - FOTO BERNAMA
Ismail Sabri (dua dari kanan) melawat ruang pameran ketika hadir pada majlis perasmian sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2022 di NU Sentral hari ini. - FOTO BERNAMA

Selari perkembangan pesat e-dagang terutama ketika pandemik, Ismail Sabri meminta rakyat lebih berhati-hati ketika berurusan dalam talian.

Bagi mengelak menjadi mangsa penipuan, katanya, pengguna harus menyemak semua maklumat sebelum menjalankan sebarang urus niaga, termasuk transaksi dalam talian, urusan tawar menawar dan sebagainya.

"Amalkan juga perkara berikut, seperti mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat daripada pegawai KPDNHEP sebelum melakukan sebarang urusan pembelian sekiranya rasa curiga atau tidak pasti.

"Pastikan setiap transaksi urus niaga mempunyai bukti atau dokumen bertulis seperti resit, invois, perjanjian untuk memudahkan siasatan serta tindakan selanjutnya.

"Dapatkan maklumat mengenai fungsi, peranan kementerian dan operasi-operasi yang dilaksanakan melalui laman web rasmi, Facebook, Twitter dan risalah sebagai panduan kepada semua pengguna.

"Laporkan aduan dengan segera menggunakan saluran aduan yang disediakan jika rasa diri anda ditipu oleh mana-mana peniaga," katanya.

Berikutan pelbagai alat berteknologi tinggi di hujung jari mutakhir ini, Ismail Sabri mengakui semua maklumat berupaya diperoleh dengan mudah, namun ia wajar dimanfaatkan secara lebih berhati-hati, sama ada ketika membuat urusan secara atas talian, penyebaran maklumat dan sebagainya.

Beliau menyuarakan harapan supaya semua pihak dapat menghayati dan mempraktikkan hak masing-masing sebagai pengguna dalam menjalankan urus niaga seharian.

"Jangan mudah terpedaya dan tertipu dengan helah serta penipuan peniaga yang tidak beretika," katanya.

Berita Harian X