Jumaat, 25 March 2022 | 7:12pm
Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonald’s kembali. NSTP/Ihsan McDonald’s Malaysia
Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonald’s kembali. NSTP/Ihsan McDonald’s Malaysia

Anugerah Guru Inspirasi McDonald's kembali

KUALA LUMPUR: Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonald's kembali untuk tahun keenam penganjurannya bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru yang menjalankan tanggungjawab melebihi tugas hakiki dalam usaha mendidik, membentuk seterusnya memberi inspirasi kepada anak bangsa.

Melalui AGI McDonald's, syarikat terus mengiktiraf golongan pendidik yang sentiasa komited dan berdedikasi demi mendidik pemimpin masa hadapan negara.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, berkata pihaknya melihat banyak perubahan dalam sistem pendidikan sejak dua tahun lalu.

"Guru melalui peralihan daripada Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka kepada kelas secara dalam talian, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), termasuk pengajaran secara hibrid.

"Oleh itu, pengiktirafan terhadap jasa guru menjadi semakin penting dan AGI dianjurkan berhasrat untuk terus meraikan guru atas usaha mereka memastikan pendidikan golongan pelajar di seluruh negara kekal terjamin," katanya.

Rakyat Malaysia boleh mencalonkan guru yang memberi inspirasi kepada diri mereka mulai 10 Mac hingga 2 April ini dengan berkongsi kisah 'Cikgu Luar Biasa' sama ada dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris atau Bahasa Cina.

Pencalonan boleh dibuat hanya dengan tiga langkah mudah iaitu log masuk ke laman web AGI McDonald's, hantar borang pencalonan dan tulis bagaimana guru anda memberi inspirasi kepada diri dan jika ada, hantar gambar guru sebagai dokumen sokongan.

AGI McDonald's akan memilih 25 kisah guru paling berinspirasi sebagai pemenang yang akan menerima wang tunai RM5,000, manakala pencalon yang mencalonkan guru yang menang akan menerima baucar hadiah McDonald's bernilai RM200 sebagai tanda penghargaan.

Kriteria pemilihan dalam mengenal pasti guru yang layak termasuk kemampuan meningkatkan prestasi akademik pelajar menggunakan kaedah pengajaran berinovasi dan memberi impak positif kepada diri pelajar.

Terdahulu, AGI McDonald's diperkenalkan pada tahun 2017 dan sehingga kini menerima lebih 19,000 pencalonan dengan lebih 106 guru menerima anugerah ini di seluruh negara.

Selain meraikan golongan pendidik, McDonald's Malaysia turut mendekati dan menyumbang kepada masyarakat melalui Program Komuniti @ McDonald's & RMHC yang dijalankan sepanjang tahun.

Inisiatif tahun lalu termasuk menyambut hari jadi lebih 12,000 kanak-kanak di 400 rumah anak yatim di seluruh negara dan mengagihkan pek `Kembali ke Sekolah' bernilai RM1.66 juta kepada 21,000 pelajar.

Berita Harian X