Jumaat, 25 March 2022 | 4:11pm
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali. NSTP/Saifullizan Tamadi
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali. NSTP/Saifullizan Tamadi

PDRM umum 121 kenaikan pangkat, pertukaran jawatan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini mengumumkan kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan membabitkan 121 pegawai kanan pasukan itu.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Ruslan Khalid, dalam satu kenyataan memaklumkan, semua kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan itu akan berkuat kuasa mulai 25 April ini.

"Mendahului senarai adalah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali, yang dinaikkan ke Gred VUYA5 atau Jusa A dan kekal dengan jawatan sedia ada.

"Berikutnya, Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, ditukar sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP)," katanya.

Katanya, pertukaran turut membabitkan Ketua Penolong Pengarah E4, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Dr Wan Ariffin Wan Ahmad, yang ditukarkan sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, Bukit Aman dengan memangku pangkat CP.

"Datuk Kasuahdi Ali, yang kini memegang jawatan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Pasukan Gerakan Am) JKDNKA Bukit Aman ditukarkan sebagai Timbalan Pengarah KDNKA (Gerakan) JKDNKA Bukit Aman, juga memangku pangkat CP.

"Turut memangku pangkat CP adalah Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop selepas ditukarkan sebagai Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman," katanya.

Katanya, pertukaran turut membabitkan Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Dr Mustafa Khan Abdul Samat, sebagai Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

"Pertukaran seterusnya adalah Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hussein Omar Khan kepada Timbalan Pengarah Risikan/Operasi JSJ Bukit Aman.

"Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK Bukit Aman, Datuk S Sasikala Devi, pula ditukarkan sebagai Timbalan Ketua Polis Selangor, manakala Ketua Penolong Pengarah E2, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Mohd Khalid Ismail ditukarkan ke Ketua Penolong Pengarah E4, Cawangan Khas Bukit Aman," katanya.

Ruslan turut memaklumkan, beliau akan ditukarkan sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan yang baharu.

Polis Melaka pula akan menerima Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik JSJ Bukit Aman, Datuk Zainol Samah, yang dilantik sebagai Ketua Polis Melaka.

Turut diumumkan adalah pertukaran Ketua Penolong Pengarah Pendataan/Analisis JPJKK Bukit Aman, Datuk Fadzil Ahmat, sebagai Timbalan Pengarah (Integriti) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Berita Harian X