Jumaat, 25 March 2022 | 2:48pm
Ahmad (berbaju Melayu) menyampaikan sumbangan kepada pegawai masjid dalam Parlimen Jasin di Dewan Alamanda, Jasin, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Amir Mamat
Ahmad (berbaju Melayu) menyampaikan sumbangan kepada pegawai masjid dalam Parlimen Jasin di Dewan Alamanda, Jasin, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Amir Mamat

Bekalan ayam cukup pada Ramadan, Aidilfitri

JASIN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bekalan ayam bersih, termasuk sejuk beku yang diimport dari Thailand dan China mencukupi untuk kegunaan pada Ramadan dan Aidilfitri kelak.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata meskipun negara berdepan masalah kekurangan bekalan, namun kementerian itu yakin ia dapat dikawal menerusi 16 syarikat yang diberikan permit import (AP) bagi mendapatkan ayam bulat dan keratan dari negara terbabit.

"Dua negara terbabit pada ketika ini sedang menghadapi kekurangan bekalan menyebabkan syarikat yang diberikan AP itu hanya memperoleh separuh daripada 10,000 metrik tan yang diluluskan kerajaan.

"Sebab itu kerajaan membuat keputusan melanjutkan tempoh AP sehingga Jun depan bagi membolehkan kekurangan bekalan ayam dapat diatasi di negara ini," katanya selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada masjid dan surau dalam Parlimen Jasin di Dewan Alamanda, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis dan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Ghazale Muhamad.

Media sebelum ini melaporkan, isu kekurangan bekalan ayam dalam pasaran dikesan bermula sejak Oktober tahun lalu apabila pengeluaran ayam daripada ladang tempatan tidak mencapai kadar keperluan negara.

Purata keperluan ayam di negara ini adalah 2.09 juta ayam sehari atau 62.9 juta ayam sebulan.

Bagaimanapun, data Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menunjukkan jumlah pengeluaran ayam bagi tempoh tiga bulan terakhir tahun lalu tidak mencapai jumlah purata keperluan ayam di negara ini.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, MAFI turut prihatin dengan masalah peningkatan kos operasi yang semakin meningkat terutama kenaikan harga dedak ayam ketika ini.

"Justeru, kerajaan bersetuju memberi subsidi RM528 juta meliputi 60 sen sekilogram bagi ayam hidup dan ayam bulat, manakala lima sen bagi sebiji telur ayam tanpa mengira kategori.

"Saya harap menerusi subsidi berkenaan dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung penternak ketika ini," katanya.

Berita Harian X