Jumaat, 25 March 2022 | 2:13pm
Keadaan kolam takungan di Kampun Benteng, Taman Sejahtera, Kuala Lumpur. Sebuah NGO mempersoalkan tindakan KPKT lulus projek perumahan di 13 kolam takungan di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. - Foto hiasan
Keadaan kolam takungan di Kampun Benteng, Taman Sejahtera, Kuala Lumpur. Sebuah NGO mempersoalkan tindakan KPKT lulus projek perumahan di 13 kolam takungan di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. - Foto hiasan

Kerajaan benar pembinaan rumah di kolam takungan

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar mempersoalkan keputusan kerajaan membenarkan projek perumahan dibangunkan di 13 kolam takungan hujan di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

Pengurus program penjagaan sungai Global Environment Centre (GEC), Dr K Kalithasan, antara lain menyifatkan keputusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung perkara itu sebagai tindakan kurang bijak.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya mengambil kira faktor perubahan iklim yang menyebabkan orang ramai berdepan risiko mengalami hujan lebih lebat dan kejadian banjir lebih kerap pada masa akan datang, sebelum memuktamadkan keputusan terbabit.

Lebih membimbangkan, katanya, penghuni projek perumahan terbabit akan terdedah kepada pelbagai risiko, terutamanya kejadian tanah runtuh, jika kolam takungan berkenaan membabitkan laluan air aktif seperti insiden di Highland Towers suatu ketika dahulu.

Satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang, pada 11 Disember 1993.

"Kita menerima impak teruk dan berada dalam ambang bahaya ekoran kejadian banjir, sejak akhir tahun lalu.

"Tiba-tiba kerajaan benarkan pembangunan perumahan di kawasan kolam takungan hujan.

Di manakah relevannya keputusan ini, sedangkan kita memerlukan lebih banyak kolam sedemikian dengan kapasiti dan kedalaman yang lebih?

"Air juga memerlukan ruang, sama seperti manusia dan haiwan. Bila kita ambil ruang air, ia akan mencari laluan banjir yang menyebabkan banjir di lokaliti berlainan.

"Saya tidak membantah pembangunan, tetapi biarlah ia dilakukan secara bersesuaian dan strategik. Adakah KPKT mempunyai pelan mitigasi atau akan menukarkan lokasi kolam ini di kawasan lain dalam lembangan sama?" katanya kepada BH, hari ini.

KPKT dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam, memaklumkan kerajaan membenarkan pembangunan projek perumahan di 13 kolam takungan, masing-masing sembilan di Perak, manakala tiga di Selangor dan satu lagi di Perak.

Kebenaran itu dipertimbangkan melalui justifikasi berdasarkan laporan atau ulasan teknikal Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR), yang diterima semasa memproses kebenaran merancang bagi tujuan pembangunan.

Selain itu, kolam terbabit tidak diwartakan sebagai kolam takungan dalam Rancangan Tempatan Daerah (RTD), dengan kebanyakannya adalah bekas lombong berstatus tanah kerajaan.

Terdapat pemilikan lot lama ke atas kolam berkenaan dan bagi mana-mana tanah milik yang mempunyai badan air, sebarang pembangunan perlu mendapatkan ulasan serta sokongan jabatan teknikal terutamanya Lembaga Urus Air dan JPS.

Sementara itu, Kalithasan, yang juga pakar pengurusan air dan sampah berkata, jumlah lokasi bagi menyimpan air akan berkurangan jika cadangan itu diteruskan, selain pemaju perumahan perlu mencari penyelesaian lebih mampan jika ia dilaksanakan walaupun terdapat bantahan.

"Keduanya, kolam sedia ada hanya berupaya menampung jumlah air sedikit berbanding sebelum ini disebabkan ia penuh dengan sampah dan enapan. Ini akan memberi kesan besar terhadap banjir di kawasan tertentu.

"Sememangnya pemaju boleh membangunkan projek perumahan berkonsepkan 'sponge city' di situ, namun ia masih bukan idea yang baik dan kita tidak menggalakkannya. Kawasan kolam takungan perlu dikekalkan sebagai fungsi asalnya.

"Saya juga tahu ada teknologi menghasilkan rumah terapung seperti diaplikasikan di luar negara. Namun, adakah kerajaan atau pihak pemaju akan bertanggungjawab jika berlaku kejadian tidak diingini di kawasan perumahan berkenaan selepas ia diduduki nanti?" katanya.

Berita Harian X