Jumaat, 25 March 2022 | 12:14pm

Ketua Polis Shah Alam dilantik KJSJ Selangor baharu

SHAH ALAM: Jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor bakal disandang oleh Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkuat kuasa April depan.

Baharudin yang mula menerajui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 1 Februari 2018 akan mengisi kekosongan jawatan terbabit dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).

Beliau juga menggantikan Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal yang dilantik sebagai Aide De Camp (ADC) atau pegawai pengiring Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 15 Disember tahun lalu.

"Saya menerima arahan petang semalam (dari Bukit Aman). Saya akan bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sebagai Pemangku SAC dengan jawatan KJSJ Selangor.

"Insya-Allah, saya akan melaporkan diri pada April nanti," katanya ketika ditemui selepas Sambutan Peringatan Hari Polis ke 215 Tahun 2022 di Perkarangan IPD Shah Alam, di sini, hari ini.

Difahamkan Ketua Penolong Pengarah (Kawalan Lalu-Lintas) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim bakal menggantikan beliau sebagai Ketua Polis Daerah Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib (tengah) memeriksa perbarisan pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib (tengah) memeriksa perbarisan pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Berita Harian X