Khamis, 24 March 2022 | 12:42pm

PDRM, BNM dan SKMM tangani jenayah dalam talian

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman akan bekerjasama dengan Bank Negara (BNM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengambil tindakan lebih pantas dalam menangani jenayah penipuan dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata gabungan tiga agensi itu dapat mempercepatkan tindakan susulan.

"Berdasarkan perangkaan yang diperoleh, kes jenayah komersial mencatatkan peningkatan. Usaha pencegahan perlu dilaksanakan dengan lebih komprehensif bagi memastikan maklumat berkaitan jenayah komersial dapat disampaikan kepada masyarakat.

"Paling penting adalah kita mahu mengesan 'money trail' kerana proses sindiket itu mengeluarkan duit begitu pantas daripada akaun mangsa kepada akaun lain.

"Kita menjangkakan kedua-dua agensi itu akan bekerjasama sepenuhnya dengan Pusat Respon Penipuan JSJK atau CCID Scam Response Center pada Jun ini," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, Pusat Respon Penipuan JSJK atau CCID Scam Response Center adalah pusat panggilan yang ditubuhkan dengan matlamat untuk memberi kemudahan kepada masyarakat untuk

berkomunikasi secara langsung dengan JSJK.

Katanya, Pusat Respon Penipuan JSJK mula beroperasi pada 15 Februari tahun lalu serta beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga jam 10 malam.

"Sejak hari pertama beroperasi hingga kini, kita menerima 2,399 panggilan. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,530 panggilan atau 63.4 peratus adalah pertanyaan mengenai modus operandi jenayah macau scam, love scam, belian dalam talian, pinjaman tidak wujud, penipuan pelaburan dan ah long.

"Bakinya, sebanyak 869 panggilan adalah berkaitan lain-lain pertanyaan, penyaluran maklumat jenayah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, kajian juga mendapati sebanyak 1,430 atau 59.6 peratus pemanggil terdiri daripada individu yang menjadi mangsa, manakala selebihnya iaitu 969 pemanggil (40.4 peratus) adalah individu yang tidak menjadi mangsa, dipercayai berjaya mengelak daripada menjadi mangsa jenayah komersial.

"Tidak mustahil jumlah individu yang mendapat manfaat daripada perkongsian maklumat oleh petugas pusat panggilan ini adalah lebih tinggi. Kita optimis untuk sentiasa meneliti dan menambah baik keberkesanan dan keupayaan pusat panggilan ini," katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

Sebarang maklumat berkenaan sindiket penipuan, boleh hubungi Pusat Respon Penipuan JSJK di talian 03-26101559 atau 03-26101599.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Mohd Kamarudin Md Din, pada sidang media mengenai kes penipuan dalam talian dan fungsi Pusat Respon Penipuan JSJK. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Mohd Kamarudin Md Din, pada sidang media mengenai kes penipuan dalam talian dan fungsi Pusat Respon Penipuan JSJK. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Berita Harian X