Khamis, 24 March 2022 | 9:57am
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menandatangani watikah pelantikan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) sekali gus memperkenankan majlis mengangkat sumpah EXCO diadakan Sabtu ini di Istana Bukit Serene. - Foto IHSAN FB MB
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menandatangani watikah pelantikan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) sekali gus memperkenankan majlis mengangkat sumpah EXCO diadakan Sabtu ini di Istana Bukit Serene. - Foto IHSAN FB MB

Majlis angkat sumpah EXCO Johor Sabtu ini

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sudah memperkenankan senarai barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) bagi dilantik dan mengangkat sumpah.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ia berikutan beliau sudah mempersembahkan senarai barisan EXCO itu kepada Sultan Ibrahim, pagi tadi.

"Sultan Ibrahim memperkenankan Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli EXCO diadakan pada Sabtu ini (26 Mac) , di Balai Mengadap Istana Bukit Serene. Menjunjung kasih Tuanku," katanya dalam muat naik di akaun Facebook, pagi ini.

Pada 18 Mac lalu, media melaporkan cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar, iaitu Onn Hafiz, dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kira-kira jam 3 petang hari berkenaan.

Onn Hafiz adalah Naib Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, dengan majoriti 6,543 undi.

Beliau menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad, yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

Berita Harian X