Rabu, 23 March 2022 | 9:53am
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

Wakil UMNO sokong PAS tidak bubarkan DUN Terengganu

KUALA TERENGGANU: Seorang wakil rakyat UMNO negeri ini, menyokong penuh ketegasan PAS untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak diadakan dalam tempoh terdekat.

Wakil BN-Hulu Besut, Datuk Nawi Mohamad, berkata keputusan kerajaan negeri untuk tidak membubarkan DUN, sekurang-kurangnya akan memberi peluang kepada wakil rakyat terus memegang jawatan lebih lama sehingga tamat tempoh penggal.

"Kita bersetuju dengan kenyataan Batu Burok (Muhammad Khalil Abdul Hadi) yang menyokong ketegasan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk tidak membubarkan DUN.

"Ketegasan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS untuk tidak membubarkan DUN membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan menyelesaikan masalah makanan ternakan yang semakin meningkat setiap hari.

"Saya secara peribadi bersetuju dan menyokong ketegasan kerajaan PAS negeri untuk tidak bubarkan DUN bagi membolehkan kerajaan negeri berusaha menyelesaikan masalah dihadapi penternak berikutan kenaikan harga makanan," katanya ketika berucap pada perbahasan menjunjung kasih titah ucapan ke atas Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, hari ini.

Sementara itu, Nawi ketika ditemui di ruang legar pejabat DUN, berkata UMNO kesal dan tidak bersetuju dengan kenyataan beberapa pemimpin PAS, termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengumpamakan UMNO seperti itik patah kaki berikutan pembubaran DUN Melaka dan Johor bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Katanya, pemimpin di dua negeri itu membubarkan DUN bukan disebabkan kepentingan diri, sebaliknya bagi menstabilkan pentadbiran selepas UMNO negeri itu menerima pelbagai ugutan termasuk 'tekan butang'

oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi membolehkan PRN di dua negeri itu diadakan.

"Kita pimpinan parti di peringkat negeri boleh menerima cadangan dan bersetuju PAS negeri untuk tidak bubarkan DUN, tapi tidak boleh menerima gelaran dan pengumpamaan UMNO sebagai itik patah kaki.

"Kita cabar PAS negeri bubarkan DUN bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan serentak dengan Pusat, kita nak tengok amukan itik patah kaki menendang PAS daripada terus menerajui pemerintahan negeri," katanya.

Nawi menjelaskan, gelaran itik patah kaki menggambarkan cubaan penyebaran nilai kebencian kepada golongan muda oleh pimpinan PAS.

"Pimpinan parti itu sepatutnya menyerapkan nilai kasih sayang bertepatan dengan slogan Terengganu negeri cantik, budaya menarik dan orang baik-baik kalangan golongan muda," katanya.

Berita Harian X