Selasa, 22 March 2022 | 6:42pm
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - foto BERNAMA
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - foto BERNAMA

Malaysia akan kekalkan pendekatan pengembangan fiskal tahun ini

KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengekalkan pendekatan pengembangan fiskal tahun ini bagi memastikan momentum pemulihan dikekalkan, kesan ekonomi akibat pandemik diminimumkan dan ekonomi kembali ke trajektori pertumbuhan jangka sederhananya, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Susulan itu, katanya, kadar kemajuan konsolidasi akan berlaku secara beransur-ansur.

"Kami yakin akan dapat mencapai sasaran enam peratus (defisit) tahun ini, atau malahan lebih rendah lagi, memandangkan potensi peningkatan hasil daripada harga komoditi tinggi serta kutipan hasil cukai baru-baru ini yang hampir pulih ke paras seperti sebelum pandemik," katanya dalam ucap tama beliau pada acara 'Moody's Inside ASEAN Series: Rising Fiscal in the Wake of Pandemic Recovery' hari ini.

Pada 2021, katanya, Malaysia mencapai defisit 6.4 peratus.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata hutang kerajaan persekutuan dijangka mencecah 66 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada akhir tahun ini, manakala hutang statutori dianggarkan pada 63 peratus, jauh di bawah paras siling hutang 65 peratus.

Malaysia juga akan terus memberi keutamaan kepada terbitan pasaran domestik termasuk pelancaran instrumen Matlamat Pembangunan Mampan dalam denominasi ringgit tahun ini dengan saiz sasaran hingga RM10 bilion.

Dasar monetari yang akomodatif dan asas pelabur domestik yang besar akan terus menyokong keperluan pembiayaan kerajaan, katanya.

"Bagi mempercepat konsolidasi fiskal dan memastikan kemampuan hutang negara terus terurus, kerajaan telah melaksanakan pembaharuan tambahan dengan kementerian menyasar defisit 3 hingga 3.5 peratus menjelang akhir 2025.

"Ini akan disokong oleh pengenalan Akta Tanggungjawab Fiskal yang akan memastikan tadbir urus fiskal dan kemampanan jangka sederhana serta pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana dan Semakan Perbelanjaan Awam," kata Tengku Zafrul.

Beliau menambah, usaha pemulihan dan pembaharuan ekonomi Malaysia, yang dipacu oleh Bajet 2020 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), adalah berasaskan konsep pendekatan keseluruhan negara dan semua pihak berkepentingan perlu memainkan peranan untuk membantu membina masa depan yang lebih baik bagi negara.

– BERNAMA

Berita Harian X