Selasa, 22 March 2022 | 12:57pm
Foto hiasan. - NSTP/ARKIB
Foto hiasan. - NSTP/ARKIB

Sarawak benar solat berjemaah rapat saf mulai 1 April

KUCHING: Solat Jumaat, fardu, sunat, khutbah dan wirid selepas solat dibenarkan tanpa penjarakan fizikal di semua surau dan masjid di Sarawak selaras Fasa Peralihan Endemik seluruh negara pada 1 April ini.

Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan di sebalik kelonggaran yang diberi, prosedur operasi standard (SOP) utama yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19 harus dipatuhi.

Aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti pengajian, kuliah, ceramah, kursus, bengkel, tadarus, tahlil, berbuka puasa, moreh, qiamullail, sahur, iktikaf dan khatam al-Quran juga dibenarkan namun dengan pematuhan kepada SOP penjarakan fizikal.

"Penganjuran aktiviti sosial yang sesuai diadakan di masjid dan surau juga dibenarkan dengan penjarakan fizikal, manakala jamuan dibenarkan mengikut SOP COVID-19 semasa. Pengurusan dan pengkebumian jenazah yang tiada kaitan dengan COVID-19 adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal," kata kenyataan itu.

Menurut MIS, orang ramai harus menggunakan pelitup muka sepanjang masa, mendaftar kehadiran melalui Mysejahtera sebelum masuk ke dalam masjid serta surau dan digalakkan membawa sejadah atau alas sujud sendiri.

Bagaimanapun, individu masih dalam tempoh notis kuarantin COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau yang mempunyai gejala demam, selsema, batuk atau sesak nafas dilarang menghadiri solat dan semua aktiviti lain di masjid dan surau.

"Semua SOP COVID-19 hendaklah dipatuhi seperti ditetapkan oleh KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB).

"Jawatankuasa pengurusan masjid dan surau bertanggungjawab menguatkuasakan pelaksanaan SOP yang ditetapkan itu. MIS dengan kelulusan JPBN Sarawak boleh mengubah atau meminda SOP itu dari semasa ke semasa mengikut keperluan," kata MIS.

Berita Harian X