Isnin, 21 March 2022 | 6:33pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Perlis benar kehadiran jemaah tanpa terikat status vaksinasi

KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) membenarkan jemaah di negeri ini menyertai aktiviti pengimarahan masjid tanpa terikat dengan status vaksinasi, susulan negara memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula 1 April ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah kanak-kanak juga dibenarkan hadir menunaikan solat dan mengikuti aktiviti pengimarahan masjid, namun larangan tetap dikenakan terhadap individu dijangkiti atau disyaki dijangkiti COVID-19.

"Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan sebagainya kekal dilarang hadir ke masjid," titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan MAIPs hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, jemaah turut dibenarkan menunaikan solat tanpa penjarakan fizikal, tetapi bagi aktiviti lain seperti kuliah agama masih diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

"Beta berharap fasa peralihan ke endemik ini menjadi permulaan baharu kepada semua untuk menempuh normalisasi pasca-COVID nanti," titah baginda. – BERNAMA

Berita Harian X