Isnin, 21 March 2022 | 1:28pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kerajaan bangunkan strategi hasil jangka sederhana tambah baik asas pendapatan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang membangunkan Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan melaksanakan Semakan Semula Perbelanjaan Awam (PER) bagi menambah baik asas hasil dan memastikan kecekapan perbelanjaan kerajaan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah, berkata pelaksanaan langkah itu dijangka mampu mengukuhkan kembali kedudukan kewangan demi memastikan kemampanan fiskal dan kemampuan keberhutangan kerajaan dalam jangka sederhana dan panjang.

Katanya, pada masa ini, kerajaan mengguna pakai Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) sebagai panduan dalam menggubal strategi ke arah konsolidasi fiskal jangka sederhana (tiga hingga lima tahun) yang selaras dengan pelan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Di samping itu, penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) dijangka dapat mengukuhkan tadbir urus, ketelusan, pengurusan kewangan awam dan disiplin fiskal," katanya menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai prestasi hutang dan langkah menangani isu hutang kerajaan.

Mohd Shahar berkata, kerajaan sentiasa prihatin akan keluh kesah rakyat yang telah hilang pekerjaan atau terjejas sumber pendapatan yang seterusnya menyukarkan rakyat untuk menampung keperluan perbelanjaan isi rumah.

Justeru, katanya, bagi menangani masalah itu, kerajaan terus melaksanakan pelbagai program penjanaan sumber pendapatan dan peluang pekerjaan termasuk melalui Inisiatif 'Jamin Kerja Keluarga Malaysia' atau JaminKerja yang dijangka menyediakan 600,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.

"Inisiatif ini merangkumi tiga komponen utama iaitu insentif Penggajian JaminKerja di bawah PERKESO yang menyasarkan sekurang-kurangnya 300,000 peluang pekerjaan kepada penganggur termasuk golongan rentan, bekas banduan, dan warga emas.

"Keduanya, inisiatif MySTEP yang akan diterajui LAKSANA menyasarkan sekurang-kurangnya 80,000 peluang pekerjaan kontrak dalam sektor awam dan swasta; dan ketiga, Program Upskill Malaysia oleh HRD Corp. yang menyediakan latihan kemahiran untuk pencari kerja dan bertujuan meningkatkan kebolehpasaran mereka serta menjamin penempatan pekerjaan kepada kira-kira 220,000 pelatih," katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan kerajaan sentiasa meneruskan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan lagi produktiviti melalui pendigitalan dan penggunaan meluas automasi oleh industri yang juga dapat menyumbang kepada penjanaan pendapatan yang lebih tinggi dalam ekonomi.

Menjawab soalan tambahan Ahmad mengenai hutang isu rumah, katanya, hutang isi rumah pada 2017 adalah 82.6 peratus pada 2018 (82 peratus) dan pada 2019 dicatatkan 82.7 peratus.

"Selepas pandemik pada akhir 2020, kadar hutang isi rumah meningkat kepada 93.2 peratus dan nisbah akhir Disember 2021 menurun kepada 89 peratus. Namun, ia masih lebih tinggi berbanding nisbah sebelum pandemik kerana purata pertumbuhan KDNK nomimal pada 2021 dicatatkan 1.3 peratus menurun mendadak 5.3 peratus berbanding tempoh2017- 2019," katanya.

Beliau menjelaskan kaedah mengawal hutang isi rumah sudah digariskan kerajaan sejak 2012 bagi mengelakkan beban hutang berlebihan.

"Kita juga menggalak isi rumah yang ada masalah kewangan dan hutang mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Bank Negara sentiasa melaksanakan program celik kewangan melalui jaringan kewangan rakyat supaya urusan kewangan dapat diuruskan dengan baik," katanya.

Berita Harian X