Isnin, 21 March 2022 | 1:05pm
Gambar fail NSTP
Gambar fail NSTP

Isu kekurangan bekalan ayam berlaku sejak Oktober 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengesan isu kekurangan bekalan ayam dalam pasaran bermula sejak Oktober tahun lalu, apabila pengeluaran ayam daripada ladang tempatan tidak mencapai kadar keperluan negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata purata keperluan ayam di Malaysia adalah 2.09 juta ayam sehari, atau 62.9 juta ayam sebulan.

Katanya, data Jabatan Veterinar menunjukkan jumlah pengeluaran ayam bagi tiga bulan terakhir tahun lalu, tidak mencapai jumlah purata keperluan ayam di negara ini.

"Purata keperluan ayam dalam negara ialah sebanyak 2.09 juta ekor sehari, atau 62.9 juta ekor sebulan.

"Data pengeluaran ayam oleh Jabatan Veterinar pada Oktober 2021 ialah 52 juta ekor dan menurun kepada 51.4 juta ekor pada November 2021.

"Pengeluaran ayam pada Disember 2021 pula adalah sebanyak 61.1 juta ekor, namun belum mencapai 62.9 juta ekor mengikut keperluan sebenar, sekali gus menunjukkan terdapat kekurangan bekalan dalam pasaran," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang bertanyakan punca kekurangan bekalan ayam sejak tiga bulan laku, selain tindakan kerajaan melonjakkan semula bekalan ayam dalam pasaran.

Ahmad berkata, kekurangan bekalan ayam itu antara lain berlaku apabila penternak tempatan mengurangkan pengeluaran bagi mengelak kerugian akibat peningkatan kos operasi, yang disumbangkan oleh peningkatan ketara harga dedak ayam.

Faktor lain, katanya, adalah peningkatan permintaan ayam yang mendadak susulan pembukaan semula ekonomi negara, khususnya perhotelan dan katering pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Oktober tahun lalu.

Selain itu, jelasnya, bencana banjir pada hujung tahun lalu turut menjejaskan industri ternakan, serta pengurangan kemasukan anak ayam semasa musim hujan bagi elak penyakit berjangkit seperti sampar ayam.

Berhubung soalan tambahan Ahmad Jazlan mengenai status bekalan ayam menjelang Ramadan dan Aidilfitri, Ahmad memberi jaminan ia mencukupi selepas kerajaan membenarkan import ayam bulat dari luar negara, selain pemberian subsidi kepada penternak.

"Kerajaan ambil pendekatan membenarkan import ayam bulat sebanyak 10,000 metrik tan dari luar negara, namun setakat ini kita hanya berkeupayaan mendapat 4,500 metrik tan ayam sahaja.

"Pada masa sama, kerajaan memberi subsidi berjumlah RM528 juta meliputi 60 sen sekilogram bagi ayam hidup dan ayam bulat, dan lima sen bagi sebiji telur ayam tanpa mengira kategori," katanya.

Menjawab soalan tambahan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) yang bertanya sama ada MAFI sedia menggunakan sisa makanan sebagai dedak ayam selaras hasil kajian Universiti Sains Malaysia (USM), Ahmad berkata, sisa makanan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan makanan ayam di ladang ternakan.

Jelasnya, MAFI kini sedang memberi tumpuan untuk meningkatkan penghasilan dedak ayam berasaskan isi rung kelapa sawit (PKC), selain meningkatkan penanaman jagung, bagi mengurangkan kebergantungan pada import dedak ayam.

"Kita telah mendapat satu penemuan baharu tentang PKC yang boleh keluarkan sendiri hasil daripada pemprosesan kelapa sawit.

"PKC ini memang tersedia di negara kita dan kita dapati ia mengandungi keperluan untuk makanan ternakan," katanya.

Berita Harian X