Ahad, 20 March 2022 | 7:42pm
Solat jemaah tanpa penjarakan fizikal di masjid dan surau di Terengganu kini dibenarkan, berkuat kuasa 1 April ini. - Foto NSTP
Solat jemaah tanpa penjarakan fizikal di masjid dan surau di Terengganu kini dibenarkan, berkuat kuasa 1 April ini. - Foto NSTP

Terengganu benar solat rapat saf

KUALA TERENGGANU: Solat jemaah tanpa penjarakan fizikal di masjid dan surau di Terengganu kini dibenarkan, berkuat kuasa 1 April ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata majlis berbuka puasa, moreh, bacaan al-Quran secara berjemaah serta qiamullail juga dibenarkan.

Beliau berkata, kebenaran aktiviti ibadat di masjid dan surau dalam fasa peralihan endemik itu diperkenankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Sultan Mizan juga bersetuju membenarkan semua jemaah lelaki dan wanita, termasuk kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas hadir ke masjid.

"Semua pelaksanaan aktiviti perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, termasuk pemakaian pelitup muka, pendaftaran kemasukan ke masjid dan surau menggunakan aplikasi Mysejahtera atau mencatatkan nama pada buka disediakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shaikh Harun berkata, semua jemaah tidak perlu membawa sejadah sendiri, bagaimanapun bersalaman tidak dibenarkan.

Mengenai aktiviti hal ehwal jenazah dan ziarah kubur, Shaikh Harun berkata, umat Islam dibenarkan untuk menziarahi tanah perkuburan.

Katanya, Sultan Mizan turut memperkenankan supaya solat jenazah dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal dengan dirapatkan saf.

"Bagaimanapun, jemaah yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema tidak dibenarkan hadir ke masjid dan surau.

"Jawatankuasa masjid dan surau juga diminta menyediakan cecair pencuci tangan," katanya.

Mengulas mengenai solat berjemaah lima waktu dan solat jumaat, Shaikh Harun berkata, solat Jumaat dan solat fardu lima waktu secara berjemaah dibenarkan merapatkan saf.

"Kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas dibenarkan hadir bersama ibu dan bapa. Jawatankuasa masjid dan surau digalakkan menyediakan satu kawasan khas bersesuaian untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun," katanya.

Shaikh Harun berkata, kelonggaran aktiviti keagamaan di masjid dan surau itu diperkenankan Sultan Mizan berdasarkan pengumuman seluruh negara akan memasuki fasa peralihan ke endemik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac lalu.

"Sultan Mizan juga mengingatkan jawatankuasa masjid dan surau supaya sentiasa mematuhi garis panduan pematuhan SOP serta arahan dikeluarkan MAIDAM dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

"Baginda juga meminta semua jawatankuasa masjid dan surau mematuhi SOP kesihatan serta keselamatan dikuatkuasakan supaya institusi masjid dan surau terpelihara daripada berlakunya penularan pandemik COVID-19," katanya.

Berita Harian X