Ahad, 20 March 2022 | 10:07am
 Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin

BN Sabah kekal jadi rakan sekutu GRS

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah tetap menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) walaupun tidak berada dalam gabungan berkenaan selepas ia didaftarkan secara rasmi oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) minggu lalu.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata BN akan terus menjadi rakan sekutu GRS dan bekerjasama demi kesinambungan pembangunan serta kestabilan politik Sabah.

Beliau berkata, pendirian itu sejajar tujuan asal penubuhan gabungan berkenaan iaitu untuk kestabilan politik dan memastikan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) Sabah pada September 2020 berfungsi dengan baik.

"Memandangkan BN adalah sebuah gabungan daripada parti komponen lain, tindakan menyertai sebuah gabungan lagi tidak sesuai, namun ia bukan penghalang untuk BN Sabah menjalin kerjasama dengan GRS demi pembangunan negeri.

"Saya berharap GRS dan BN Sabah dapat memainkan peranan penting bagi membangunkan Sabah ke arah lebih baik, seterusnya mengangkat ekonomi negeri serta rakyat di negeri ini," katanya.

Kelmarin, Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor mengumumkan pembentukan GRS yang secara rasmi membabitkan gabungan BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

BN Sabah dan PAS tidak berada dalam gabungan berkenaan tetapi bekerja sama dengan GRS untuk mengekalkan kerajaan negeri sedia ada.

Selain UMNO, BN Sabah turut merangkumi MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, berkata pembentukan GRS secara rasmi sebagai sebuah entiti baharu politik di Sabah menyaksikan kedudukan Perikatan Nasional (PN) Sabah tidak lagi berfungsi selepas parti komponennya di negeri ini menyertai GRS.

"Tidak logik untuk sebuah parti mempunyai dua gagasan yang dilihat hanya akan membawa kemudaratan dan komplikasi lain, justeru secara rasionalnya PN Sabah tidak lagi wujud dengan adanya GRS," katanya.

GRS dibentuk secara tidak rasmi melalui kerjasama PN, BN dan PBS bagi menghadapi PRN-16 pada September 2020 sebelum berjaya membentuk kerajaan selepas menewaskan Parti Warisan (WARISAN) yang bergabung bersama Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) ketika itu.

Berita Harian X