Sabtu, 19 March 2022 | 3:23pm

Jangan naikkan harga tepung subsidi

PANGKOR: Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang dikesan menaikkan harga tepung tidak bersubsidi tanpa mematuhi perundangan pencatutan, terutama menjelang Ramadan ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihak berkenaan boleh didakwa melakukan kesalahan mencatut mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Menurutnya, kementerian sentiasa memantau harga tepung bersubsidi kerana ia di bawah kawalan untuk kegunaan golongan berpendapatan rendah

"Tepung tidak bersubsidi kita tidak kawal (harga), kita pantau. Kalau naik mendadak dan tidak berpatutan, tindakan boleh dikenakan. Mungkin dikata melakukan kesalahan dari segi mencatu, kita ada undang-undang anti pencatutan," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas melancarkan program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Arena Pekan Pangkor, di sini hari ini, beliau berkata, orang ramai perlu membuat laporan kenaikan harga barang kepada penguat kuasa KPDNHEP supaya tindakan lanjut dapat diambil.

"Kalau ini berlaku, biarlah ada aduan rasmi, beritahu di mana tempatnya, apa kesalahannya, beri (maklumat) terus terang, jangan hanya sekadar di sosial media atau sebut begitu saja. Kita tak dapat maklumat, kita tak boleh nak siasat," katanya.

Mengenai ReDI, Alexander berkata, pelaksanaannya di Pulau Pangkor sangat penting kerana ia akan memberi satu momentum kepada agenda digitalisasi negara terutama untuk pemain industri sektor peruncitan.

Katanya, inisiatif KPDNHEP dengan kerjasama kerajaan negeri, Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan semua pihak berkaitan dapat merealisasikan Pulau Pangkor sebagai pulau pelopor digitalisasi ReDI di negara ini selain sebagai pulau bebas cukai.

Katanya, ReDI menggalakkan pemain industri sektor peruncitan sentiasa seiring dengan perkembangan digitalisasi, terutama teknologi transaksi pembayaran secara digital dan memastikan ia dilaksanakan dalam keadaan selamat dari segi kesihatan (norma baharu) dan proses keewangan.

"Kementerian mensasarkan 15,000 peniaga di seluruh negara ini, akan menerima manfaat dan turut serta dalam memberi pilihan kepada pengguna. Sehingga 15 Mac tahun ini seramai 3,347 peniaga mengadaptasi program ReDI," katanya.

Alexander Nanta Linggi (tengah) melancarkan program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Arena Pekan Pangkor, Pulau Pangkor, hari ini. - NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Alexander Nanta Linggi (tengah) melancarkan program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Arena Pekan Pangkor, Pulau Pangkor, hari ini. - NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Berita Harian X