Jumaat, 18 March 2022 | 1:55pm
Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid bersama Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia (kanan) meninjau harga barangan runcit pada Program Penyeragaman Harga Zon di Kampung Baru Pulau Redang. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid bersama Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia (kanan) meninjau harga barangan runcit pada Program Penyeragaman Harga Zon di Kampung Baru Pulau Redang. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Lebih 2,000 penguat kuasa pantau bazar, pasar

KUALA NERUS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Pengguna (KPDNHEP) akan menggerakkan lebih 2,000 penguat kuasa bagi memantau bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara secara agresif.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata, selain dua lokasi berkenaan, pemantauan dan pemeriksaan turut dilaksanakan di pasar awam, pasar

basah, pasar raya besar, pasar mini dan kedai runcit.

Beliau berkata, ia bagi memastikan pengguna tidak menjadi mangsa kenaikan harga pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, selain memantau harga bagi mengelak unsur pencatutan, operasi juga dilakukan bagi memastikan keberadaan barangan keperluan asas.

"Ada yang meramalkan bahawa harga akan naik puasa ini, jadi kita berharap peniaga dan pengusaha supaya jangan terbabit dengan mencatut atau mengambil keuntungan berlebihan dan menganiayai pengguna.

"Kita pantau secara menyeluruh harga barangan ini terutama yang berasaskan telur dan ayam bagi memastikan tiada unsur pencatutan," katanya ketika ditemui selepas Program Penyeragaman Harga (PPH) di Kampung Baru, Pulau Redang, di sini, hari ini.

Rosol berkata, kerjasama peniaga dan orang ramai diperlukan supaya barangan asas sentiasa dijual dengan harga berpatutan.

Beliau meminta orang ramai untuk membuat aduan kepada KPDNHEP jika mendapati barangan keperluan dijual pada harga tidak munasabah atau ada sebarang salah laku peniaga.

Berita Harian X