Khamis, 17 March 2022 | 6:09pm
Pro Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tan Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor bersama penerima anugerah kecemerlangan pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-15. - Foto ihsan UMP
Pro Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tan Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor bersama penerima anugerah kecemerlangan pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-15. - Foto ihsan UMP

Graduan kompetensi tinggi ada kelebihan dalam kebolehpasaran

KUANTAN: Graduan yang mempunyai kompetensi tinggi dengan menguasai pelbagai bahasa, berkeyakinan diri, berkomunikasi dengan baik dan berkeupayaan mengendalikan peralatan berteknologi tinggi, mempunyai kelebihan mendapat tempat dalam pekerjaan.

Pro Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tan Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor, berkata berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, yang menunjukkan 69 peratus daripada 190,436 peluang pekerjaan ditawarkan pada Disember lalu adalah dalam bidang Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), manakala 19 peratus lagi dalam sektor pembuatan.

Beliau berkata, graduan masa kini berhadapan cabaran besar untuk mendapat kerja berikutan persaingan yang semakin besar.

Untuk menempatkan diri dan menempa nama di alam kerjaya bukanlah sesuatu yang mudah. Keupayaan dan kompetensi sebenar graduan akan diuji dan dinilai.

"Justeru, graduan mestilah menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan berpaksikan sinergi ilmu, kemahiran teknikal, insaniah dan sahsiah yang murni sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pertama Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

Sementara itu, katanya, kerajaan sudaj mengumumkan tiga inisiatif JaminKerja iaitu Insentif Pengajian JaminKerja, Malaysia Short term Employment Program (MySTEP), yang mewujudkan peluang kerjaya.

Selain itu, Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran bagi mencerdaskan semula ekonomi negara dalam usaha mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan.

Beliau berkata, semua inisiatif itu perlu disokong untuk memastikan matlamat pengangguran di bawah empat peratus, tercapai.

Berita Harian X