Khamis, 17 March 2022 | 5:14pm
M Ashviny (kanan) bersama empat lagi graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP), (dari kiri) Nurul Md Yunus, Sharifah Fadhilah Syd Mohd Fuzi, Twong Weng Fung dan Nur Syuhadah Abu, yang menerima anugerah dan hadiah kecemerlangan pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-15. - Foto BERNAMA
M Ashviny (kanan) bersama empat lagi graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP), (dari kiri) Nurul Md Yunus, Sharifah Fadhilah Syd Mohd Fuzi, Twong Weng Fung dan Nur Syuhadah Abu, yang menerima anugerah dan hadiah kecemerlangan pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-15. - Foto BERNAMA

Hasrat bebas hutang pengajian, bantu keluarga tercapai

Oleh Asrol Awang

bhnews@bh.com.my

KUANTAN: Tekad M Ashviny untuk tidak terbeban hutang pengajian dan membantu keluarga menguatkan semangat belajar anak kelahiran Klang ini sehingga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Ke-15 Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Beliau memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama dalam bidang Teknologi Kejuruteraan (Farmaseutikal), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), yang melayakkan beliau mendapat pengecualian pembayaran pinjaman pengajian daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Saya bersyukur kerana tidak lagi perlu membayar pinjaman. Kini, saya sudah bekerja sebagai jurutera dan gaji yang saya terima dapat membantu keluarga.

"Pencapaian ini juga didorong oleh faktor mahu membalas jasa bapa, yang bekerja sebagai pemandu lori dan ibu, pekerja am di syarikat swasta.

"Saya juga berharap, pencapaian saya ini akan menjadi pencetus semangat kepada empat adik," kata anak sulung daripada lima beradik itu.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak terutama pihak universiti dan keluarga yang memberikan semangat.

Ashviny adalah antara 3,556 graduan UMP 2020 yang menerima ijazah dan diploma pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-15, yang berlangsung selama empat hari.

Daripada jumlah itu, seramai 234 graduan menerima ijazah doktor falsafah dan sarjana, 2,364 graduan sarjana muda dan diploma serta 958 graduan UMP Advanced.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Mohd Rosli Hainin, berkata tujuh sesi diadakan pada konvokesyen kali ini, dengan 500 graduan bagi satu sesi, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha menyekat penularan wabak COVID-19.

"Setiap sesi dihadkan 500 graduan bagi mengelakkan perhimpunan beramai-ramai di dewan ini," katanya.

Berita Harian X