Khamis, 17 March 2022 | 4:32pm
Aktiviti mengorek pasir menyebabkan berlaku hakisan dan runtuhan tebing yang serius di Sungai Kulim sejak lebih tiga tahun lalu. - Foto fail NSTP
Aktiviti mengorek pasir menyebabkan berlaku hakisan dan runtuhan tebing yang serius di Sungai Kulim sejak lebih tiga tahun lalu. - Foto fail NSTP

Kerajaan Kedah diminta tangani aktiviti korek pasir

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah supaya memberi perhatian serius terhadap aktiviti mengorek pasir sungai, di Mukim Keladi daerah Kulim, di sini.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, ia kerana aktiviti itu menjejaskan alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan di Kampung Tok Rasul, Kampung Sungai Badak dan Kampung Dusun.

Beliau berkata, walaupun projek itu mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), ia tidak harus dipandang remeh.

"CAP kesal dengan masalah ini dan berharap pihak berkaitan mengambil tindakan segera supaya alam sekitar dan kehidupan penduduk tidak terus terancam.

"Siasatan secara menyeluruh wajar dilakukan selain tindakan undang-undang tegas perlu diambil ke atas mereka yang dikenal pasti menjadi penyebab berlakunya ancaman hakisan dan tebing sungai runtuh di kawasan berkenaan," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

CAP turut mencadangkan supaya hasil siasatan yang dibuat dan tindakan yang diambil didedahkan kepada umum.

Beliau berkata, penduduk yang mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda akibat masalah itu juga wajar diberi pampasan setimpal.

Pada Isnin lalu, media melaporkan dakwaan penduduk tiga kampung di Mukim Keladi, mengenai kegiatan sebuah kuari melakukan aktiviti mengorek pasir hingga berlaku hakisan dan runtuhan tebing yang serius di Sungai Kulim sejak lebih tiga tahun lalu.

Kesan daripada kegiatan itu dikatakan menyebabkan aliran sungai menjadi terlalu deras terutama ketika musim tengkujuh sehingga menjejaskan kehidupan penduduk di sekitarnya.

Aduan mengenai masalah itu sudah dibuat beberapa kali kepada Pejabat Daerah Kulim serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), selain perbincangan bersama pemilik kuari, namun sehingga kini tiada penyelesaian dicapai.

Berita Harian X