Khamis, 17 March 2022 | 1:36pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kaji Jualan Keluarga Malaysia dilanjut hingga Ramadan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang meneliti untuk melanjutkan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) sehingga akhir Ramadan tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata penerusan program ini termasuk untuk diperluaskan ke kawasan lain seperti di pedalaman sekali pun bergantung kepada keadaan kewangan negara meskipun ia mendapat sambutan menggalakkan.

Tambahnya, ia juga memerlukan sokongan dan komitmen rakan strategik untuk meneruskan program harga patut itu.

"Buat masa ini, program ini yang juga salah satu pelan jangka pendek bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat akan dilaksanakan sehingga Mac 2022 dan kementerian sedang meneliti untuk melanjutkan PJKM sehingga akhir Ramadan 2022.

"Penerusan program ini bergantung kepada kewangan (negara). Jika ada kewangan, Insya-Allah kita akan sambung dan kita tahu sebagaimana yang diperkatakan bahawa ia memperoleh sambutan menggalakkan.

"Sebenarnya untuk melaksanakan program ini, kita perlu ada beberapa rakan strategik yang komited. Setakat ini, kita ucap terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta 196 rakan strategik," katanya pada sesi waktu pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) mengenai cadangan untuk mengekalkan PJKM khasnya ketika musim perayaan di seluruh negara dan memperluaskannya di kawasan pedalaman.

PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian seperti ayam, ikan, telur, sayur, minyak masak, gula, tepung, beras serta barangan proses dengan harga sehingga 20 peratrus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Rosol turut mengumumkan, KPDNHEP akan meneruskan kawalan harga barangan keperluan harian melalui Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia Musim Perayaan yang akan dilaksanakan setiap kali musim perayaan di seluruh negara.

Beliau juga mengumumkan untuk meneruskan pelaksanaan Program Jualan Malaysia (PJM) dengan kerjasama pihak industri.

"Sebanyak enam PJM musim perayaan yang akan dilaksanakan semasa musim perayaan sepanjang tahun ini.

"Ia membabitkan jualan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan, Hari Gawai, Deepavali dan Krismas," katanya.

Berita Harian X