Selasa, 15 March 2022 | 1:20pm
Gambar hiasan. - NSTP/AIZUDDING SAAD
Gambar hiasan. - NSTP/AIZUDDING SAAD

Kebenaran import ayam bulat dilanjutkan hingga Mei

KUALA LUMPUR: Tarikh kebenaran mengimport ayam bulat dan keratan, dilanjutkan daripada April kepada Mei depan sebagai langkah intervensi untuk menangani masalah berbangkit, termasuk kekurangan bekalan oleh negara pengeksport.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata kelewatan pengimportan berlaku atas beberapa sebab tidak dapat dielakkan.

"Hasil libat urus bersama pihak berkaitan pada 14 Januari lalu, kita mendapat maklumat bahawa masalah berlaku disebabkan negara pengeksport, iaitu Thailand mengalami kekurangan bekalan, selain harga tidak kompetitif.

"Untuk makluman, Thailand turut beralih kepada sumber protein ayam disebabkan penyakit Demam Babi Afrika (ASF).

"Justeru, mereka beralih kepada ayam dan permintaan di negara itu juga meningkat, manakala pengeluaran menurun," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang meminta penjelasan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengenai kelewatan dan kekangan dihadapi dalam mengimport ayam bulat.

Mengulas lanjut, Ahmad memaklumkan, sebanyak 4,000 tan metrik ayam bulat dan keratan sudah dibawa masuk oleh 14 syarikat yang diberi kebenaran mengimport, setakat 7 Mac lalu, bagi menampung kekurangan bekalan makanan berkenaan dalam pasaran ketika ini.

Menjawab soalan asal Shaharizukirnain sama ada langkah memberi kebenaran mengimport ayam berkenaan akan menjejaskan pengusaha tempatan pula, Ahmad berkata, kebenaran itu seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 1 Disember tahun lalu hanya bersifat sementara.

"Kemasukan ayam import tidak menjejaskan pengusaha ayam tempatan kerana hanya bersifat sementara, sehingga bekalan ayam dalam negara dapat distabilkan.

"Selain itu, jumlah pengimportan juga adalah dalam kuantiti kecil meliputi 8.8 peratus daripada keperluan pengguna.

"Purata keperluan ayam dalam negara adalah sebanyak 3,762 tan metrik (2.1 juta ekor) sehari atau 113,220 tan metrik (62.9 juta ekor) sebulan. Pada Oktober hingga Disember tahun lalu, negara berdepan kekurangan bekalan ayam sebanyak 8.5 peratus (9,601 tan metrik atau 5.3 juta ekor)," katanya.

Berita Harian X