Selasa, 15 March 2022 | 10:56am
Pegawai Hutan Daerah Raub Shahril Mohamad (dua dari kanan) melihat Rafflesia di TER Lata Jarum, Raub. - NSTP/MOHD RAFI MAMAT
Pegawai Hutan Daerah Raub Shahril Mohamad (dua dari kanan) melihat Rafflesia di TER Lata Jarum, Raub. - NSTP/MOHD RAFI MAMAT

Bunga terbesar dunia ada di Raub

RAUB: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub mengenal pasti tiga lokasi di daerah ini menempatkan bunga terbesar di dunia, Rafflesia atau dikenali sebagai Pakma.

Tumbuhan unik menjalar itu ada di Lata Lembik, Bukit Taching dan Gunung Benom dalam kawasan hutan simpan kekal.

Pegawai Hutan Daerah Raub, Shahril Mohamad, berkata usaha mempromosi Rafflesia di daerah ini sedang giat dilakukan secara berperingkat dengan kerjasama agensi pelancongan tempatan dan malim gunung atau pemandu pelancong.

Katanya, Rafflesia mampu menjadi daya tarikan pelancong ke Taman Eko Rimba (TER) untuk melihat bunga terbesar di dunia itu dan pengunjung perlu masuk beberapa kilometer ke dalam hutan.

"Di daerah ini, terdapat enam jenis Rafflesia, antaranya 'cantleyi', 'azlanii' dan 'sharifah hapsahiae'. Ini disahkan oleh penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang membuat kajian tumbuhan berkenaan di daerah ini.

"TER Lata Jarum antara lokasi terkenal dengan Rafflesia dan setiap kali ia kembang, ramai pelancong tempatan datang untuk melihat lebih dekat bunga terbesar di dunia itu," katanya ketika berkunjung ke TER Lata Jarum, semalam.

Beliau menambah, laluan di beberapa TER disediakan bagi memudahkan pelancong sampai ke kawasan Rafflesia itu dan pihaknya sentiasa memantau kawasan terbabit.

"Sekiranya terdapat bunga yang kembang, ia akan dikongsi dengan agensi pelancongan tempatan dan malim gunung. Rafflesia yang kembang hanya bertahan beberapa hari sahaja, selepas itu ia akan musnah dan reput secara semula jadi," katanya.

Katanya, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menetapkan pelancong yang ingin masuk ke hutan untuk melihat Rafflesia perlu mendapatkan khidmat malim gunung bagi mengelak kejadian tidak diingini dan sebelum masuk ke dalam hutan simpan, mereka terlebih dahulu perlu mendapatkan permit dikeluarkan Pejabat Hutan daerah.

"Bunga parasit berwarna mewah turut terdapat di hutan Sungai Rengat, Jerantut termasuk di Kampung Tekek dan Kampung Juara, Pulau Tioman. Kawasan TER Jerangsang di Lipis pula dijadikan kawasan konservasi Rafflesia, termasuk bagi tujuan kajian pelbagai pihak.

"Hutan di negeri ini sememanya kaya dengan khazanah alam yang menjadi tarikan pelancong dan golongan penyelidik dalam dan luar negara," katanya.

Berita Harian X