Isnin, 14 March 2022 | 2:04pm
Gambar hiasan - kutipan zakat fitrah yang dijalankan sepanjang Ramadan tahun lalu
Gambar hiasan - kutipan zakat fitrah yang dijalankan sepanjang Ramadan tahun lalu

Terengganu tetapkan zakat fitrah tahun ini RM7 seorang

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menetapkan kadar zakat fitrah bagi umat Islam di negeri ini tidak kurang daripada RM7 seorang.

Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata penetapan kadar zakat fitrah itu diperkenankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini.

Beliau berkata, penetapan kadar zakat fitrah itu dinilai berdasarkan harga gred Super Tempatan dengan lima peratus hancur dalam pasaran.

"Kadar bayaran zakat fitrah itu kekal sejak 2016 dan kita melantik seramai 966 amil bertauliah untuk memudahkan masyarakat Islam membuat bayaran.

"Berdasarkan jumlah umat Islam di negeri ini, kita mensasarkan kutipan zakat fitrah tahun ini adalah RM6.9 juta," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penetapan kadar zakat fitrah di bilik Mesyuarat MAIDAM, Kompleks Seri Iman, di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin.

Shaikh Harun berkata, umat Islam di negeri ini diminta membuat bayaran secara tunai kepada amil yang ditauliah.

Katanya, berdasarkan Seksyen 40, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001, mereka yang tidak bertauliah dan didapati bersalah memungut zakat serta fitrah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Umat Islam yang membuat bayaran zakat dan fitrah kepada mereka yang tidak bertauliah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 41, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Berita Harian X