Isnin, 14 March 2022 | 1:16pm
Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dan Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang dimulakan pada 2010 ditangguh pada Ogos 2019 kerana beberapa isu sensitif seperti perolehan kerajaan, dasar Bumiputera, halal dan hak harta intelek, termasuk petunjuk geografi. - Foto hiasan NSTP
Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dan Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang dimulakan pada 2010 ditangguh pada Ogos 2019 kerana beberapa isu sensitif seperti perolehan kerajaan, dasar Bumiputera, halal dan hak harta intelek, termasuk petunjuk geografi. - Foto hiasan NSTP

Dasar Bumiputera antara sebab rundingan MUEFTA ditangguh

KUALA LUMPUR: Kabinet memutuskan untuk menangguhkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dan Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang dimulakan pada 2010.

Ini berikutan tiada kesefahaman daripada kedua-dua pihak berkaitan isu sensitif seperti perolehan kerajaan, dasar Bumiputera, halal dan hak harta intelek, termasuk petunjuk geografi.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong, ketika menggulung perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat berkata perkembangan itu diputuskan pada 14 Ogos 2019.

Beliau berkata, kerajaan sedia maklum akan kepentingan Kesatuan Eropah (EU) sebagai antara rakan dagang utama Malaysia dan sedang mengambil langkah sewajarnya untuk memulakan semula rundingan MEUFTA.

"Perbincangan terkini pada 23 Disember 2021, kedua-dua pihak telah mengambil maklum akan kedudukan terkini isu yang masih tertangguh dan berusaha merundingi pendekatan dan hala tuju perjanjian ini.

"Keputusan untuk menyambung semula rundingan ini akan dibuat dengan teliti setelah mengambil kira kepentingan semua pihak," katanya hari ini.

Mengenai Perjanjian Perkongsian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP), Ban Hong berkata, Kajian Analisa Kos Faedah (CBA) bagi mengenal pasti impak penyertaan Malaysia sudah selesai dijalankan dan akan dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat.

Susulan itu, katanya, dokumen CBA akan dimuat naik ke laman sesawang MITI sebagai rujukan umum, terutama kepada pihak berkepentingan.

CBA bertujuan mengenal pasti isu berkepentingan kepada Malaysia serta mengesyorkan penyelesaian bersesuaian bagi menangani sebarang isu mungkin timbul daripada penyertaan di dalam CPTPP.

"CBA turut mengambil kira kesan COVID-19, termasuk keupayaan dan langkah boleh diambil kerajaan, sejajar peruntukan dan komitmen di bawah CPTPP bagi menangani impak pandemik. Namun, keputusan meratifikasinya bukan hanya berpandukan CBA semata-mata.

"Faktor lain seperti hasil sesi konsultasi MITI bersama pihak berkepentingan, impak saingan Viet Nam dalam pasaran CPTPP dan kesiapsiagaan negara dalam melaksanakan semua komitmen termasuk pindaan kepada akta berkaitan, turut memainkan peranan dalam mencapai keputusan untuk meratifikasi CPTPP," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan menyediakan pelbagai insentif kepada pihak industri termasuk sektor elektrik dan elektronik (E&E) bagi merancakkan pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

Ia membabitkan kadar cukai sifar peratus selama 10 tahun bagi pelaburan baharu dalam sektor pembuatan dengan pelaburan modal antara RM300 juta hingga RM500 juta. Kadar sama turut diberikan selama 15 tahun bagi pelaburan baharu dalam sektor sama dengan pelaburan modal melebihi RM500 juta.

"Sebanyak 100 peratus Elaun Cukai Pelaburan selama lima tahun bagi syarikat sedia ada di negara ini untuk memindahkan fasiliti di luar negara ke Malaysia dengan pelaburan modal melebihi RM300 juta.

"Elaun Pelaburan Semula (EPS) Tambahan disediakan kepada syarikat untuk aktiviti perkilangan dan pertanian terpilih untuk tiga tahun bagi tahun taksiran 2020 hingga 2022 di bawah PENJANA dan dilanjutkan menerusi Belanjawan 2022 daripada tahun taksiran 2023 hingga 2024," katanya.

Kerajaan juga menyediakan geran padanan melalui Dana Strategik Pelaburan Domestik bagi membantu syarikat semikonduktor tempatan beralih kepada industri berteknologi dan nilai tambah tinggi, intensif pengetahuan serta berasaskan inovasi.

Dana ini akan memanfaatkan peluang penyumberan luar dicipta syarikat multinasional yang beroperasi di negara ini, memperhebatkan pemerolehan teknologi syarikat milik Malaysia dan membolehkan syarikat milik negara memperoleh piawaian atau pensijilan antarabangsa dalam industri strategik.

Inisitiatif ini turut disokong pelbagai dasar negara melalui pelaksanaan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan program berteraskan pengukuhan ekosistem industri E&E.

Berita Harian X