Isnin, 14 March 2022 | 11:54am
Keadaan kenderaan orang awam yang ditenggelami air akibat banjir kilat susulan hujan lebat petang ini sekitar Jalan Kia Peng berdekatan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
Keadaan kenderaan orang awam yang ditenggelami air akibat banjir kilat susulan hujan lebat petang ini sekitar Jalan Kia Peng berdekatan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA

Hujan lebat tiga jam boleh tenggelamkan Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan dengan taburan melebihi 155 milimeter (mm) hanya dalam tempoh tiga jam, berisiko menenggelamkan sebahagian Kuala Lumpur dan beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang sekiranya tiada langkah mitigasi segera diambil.

Pakar biokejuruteraan, banjir dan alam sekitar turut berpendapat, faktor pembangunan pesat di Lembah Klang telah menyebabkan banyak kawasan bertukar menjadi 'hutan batu' sehingga menganggu penyerapan air hujan secara semula jadi.

Menurut mereka, situasi membimbangkan itu dijangka memberi kesan buruk kepada kira-kira 1.8 juta warga ibu kota jika bah besar luar jangka melanda lagi berdasarkan taburan hujan yang direkodkan baru-baru ini dengan kebanyakannya melebihi 100mm, sekali gus menyebabkan banjir melanda Kuala Lumpur.

Felo Kanan Pusat Kelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Zulkifli Yusop, berkata selain taburan hujan yang tinggi, bencana itu juga disebabkan faktor sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik serta pembangunan tidak terancang.

"Kejadian banjir, terutama di ibu negara baru-baru ini disebabkan hujan lebat luar biasa dan dalam tempoh dua jam sahaja sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang sangat tinggi.

"Ketika itu, bacaan hujan yang tinggi direkodkan di Stesen Taman Desa SMART, Kuala Lumpur dengan bacaan 106.5mm dan Stesen Air Panas Lumpur dengan bacaan 155mm hanya dalam masa dua jam.

"Bacaan itu jelas menunjukkan taburan hujan bukan lagi seperti dahulu dan bacaan terbaru merekodkan taburan hujan yang kebanyakannya melebihi 100mm.

"Jika tiada tindakan segera diambil, bayangkan hujan lebat dengan bacaan melebihi 155mm dalam tempoh tiga jam, sebahagian Kuala Lumpur boleh tenggelam," katanya kepada BH, baru-baru ini.

Felo Kanan Pusat Kelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Zulkifli Yusop.
Felo Kanan Pusat Kelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Zulkifli Yusop.

Justeru, Zulkifli berkata, garis panduan yang diguna pakai bagi menangani banjir perlu diubah berdasarkan faktor perubahan iklim dan taburan hujan yang dijangka meningkat pada masa depan.

Katanya, ia disusuli dengan langkah seperti membina terowong dan tembok banjir, selain mewajibkan pemaju perumahan membina kolam takungan buatan di kawasan kediaman baharu dengan segera.

"Takrifan banjir 100 tahun sudah tidak 'valid' (sah). Kalau dahulu, banjir 100 tahun, taburan hujan mungkin dalam 100mm, sekarang lebih tinggi kerana perubahan iklim menjadi punca hujan luar jangka ini.

"Ini bermakna, data hujan dahulu sudah tidak boleh digunakan, perlu ada data baharu. Jadi, garis panduan untuk tangani masalah banjir juga perlu diperbaharui," katanya.

Bagi Pakar Hidrologi dan Permodelan Banjir, Prof Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman, banjir yang sering berlaku di sekitar ibu negara sebenarnya mempunyai kaitan dengan pembangunan hartanah kediaman, pusat perniagaan dan bangunan komersial lain.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, apabila berlaku penggunaan tanah bagi tujuan pembangunan untuk membesarkan kawasan Lembah Klang, akan terjadi satu situasi dipanggil tepu bina.

"Ia bermaksud banyak kawasan telah bertukar menjadi 'hutan batu', kawasan dahulunya telap air, kini tidak dapat lagi menyerap air sehingga menyebabkan situasi air larian permukaan.

"Akibatnya, lebihan air ini mengalir ke sistem saliran berhampiran yang mungkin mencapai keupayaan maksimum," katanya.

Bagi Kuala Lumpur, Mohd Ekhwan menjelaskan, reka bentuk sistem saliran dan perparitan di sekitar bandar raya juga mempunyai had keupayaan saliran tertentu.

"Hujan lebat ditambah dengan litupan tanah yang tidak telap air, menyebabkan air di saliran dan sistem perparitan melimpah keluar dan keadaan ini ditambah lagi dengan proses penyelenggaraan yang tidak berkala, menyebabkan banyak sistem saliran tersumbat dengan kelodak, sedimen atau mendapan sisa dan bahan buangan domestik serta industri.

"Banyak pembangunan di sekitar Kuala Lumpur yang tidak menyediakan kolam tadahan sedimen menyebabkan sedimen dan kelodak dibawa oleh air ketika hujan lebat dan masuk ke dalam sistem saliran sehingga pada masa itu, kita dapat melihat air yang mengalir berwarna seperti teh pekat," katanya.

Beliau berkata, reka bentuk saliran yang berkonkrit juga menyebabkan air mengalir lebih laju dan kadar resapan rendah yang bakal menyebabkan kawasan rendah lebih cepat dilanda banjir kilat.

Sependapat dengannya, Pensyarah Kanan Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Madya Dr Wan Mohd Faizal Wan Ishak, berkata sampai masanya sistem perparitan dan saliran serta perancangan pembangunan bandar perlu dikaji semula.

Katanya, kerajaan perlu memperuntuk dana lebih besar bagi melaksana penyelidikan dan kajian dalam sistem perbandaran, termasuk menggunakan teknologi baharu bagi menangani isu banjir.

"Kesan banjir ini adalah kepada rakyat. Rakyat terkesan dan alami kerugian jika tiada tindakan segera diambil. Kita tidak boleh kawal hujan, tetapi boleh mengelakkan kesan banjir itu.

"Rakyat juga harus main peranan dan perlu ada kesedaran sivik. Jangan buang sampah merata-rata sehingga mengakibatkan sistem perparitan tersumbat dan sebagainya," katanya.

Isnin lalu, hujan lebat berterusan lebih dua jam menyebabkan banyak kawasan sekitar Lembah Klang, termasuk di ibu kota dilanda banjir kilat yang menyaksikan ribuan kenderaan ditenggelami air, sama ada di tempat terbuka atau di ruang parkir bawah bangunan.

Beberapa lebuh raya dan jalan raya sekitar ibu negara turut terputus hubungan akibat ditenggelami air, sekali gus menyebabkan kesesakan serta kerosakan harta benda dan infrastruktur.

Pada Disember tahun lalu pula, hujan lebat berterusan lebih 48 jam menyebabkan banjir besar melanda beberapa negeri, antaranya Selangor membabitkan Hulu Langat, Kuala Langat, Shah Alam, Klang, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Petaling, selain Kuala Lumpur di Lembah Klang serta Bentong, Mentakab dan Temerloh, di Pahang.

Kuala Lumpur pernah dilanda banjir besar pada 1971 mengakibatkan kira-kira 60 peratus kawasan di ibu kota ditenggelami air.

Berita Harian X